Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    UAE lancar dana Alterra AS$30b tangani iklim

    DUBAI, 1 DIS – Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini berkata ia telah melancarkan dana pelaburan swasta baharu bernilai AS$30 bilion yang memberikan tumpuan kepada projek iklim di negara membangun.

    Negara pengeluar minyak yang menjadi tuan rumah rundingan iklim COP28 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Dubai itu berkata ia berharap dana itu, yang dikenali sebagai Alterra, akan merangsang pelaburan berjumlah AS$250 bilion menjelang 2030.

    “Saya sukacita merasmikan penubuhan dana AS$30 bilion untuk penyelesaian iklim global,” kata Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada sidang kemuncak itu.

    Presiden COP28, Sultan Al Jaber, yang juga ketua syarikat minyak nasional UAE, ADNOC, akan mempengerusikan lembaga dana baharu itu, menurut satu kenyataan.

    Ia berkata dana itu ‘akan memacu usaha antarabangsa untuk mewujudkan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dengan penekanan pada peningkatan akses kepada pembiayaan untuk Global South.’

    Pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, kecuali China, perlu membelanjakan AS$2.4 trilion setiap tahun untuk menangani keperluan iklim dan pembangunan mereka, menurut panel pakar ekonomi PBB, melebihi tahap pelaburan semasa.

    Inisiatif UAE dilihat sebagai sebahagian daripada strategi negara yang lebih luas untuk COP28, mendorong penglibatan sektor swasta sementara secara sukarela menjanjikan jumlah yang besar.

    Wang telah pun diperuntukkan untuk membangunkan lebih enam gigawatt kapasiti tenaga bersih di India, termasuk membina projek angin dan solar menjelang 2025, kata kenyataan itu.

    Projek lain di Afrika dan Amerika Latin juga sedang diterokai, tambahnya. – AFP

    Sheikh Mohamed bin Zayed al-Nahyan bercakap semasa Segmen Peringkat Tinggi untuk sesi Ketua Negara dan Kerajaan pada sidang kemuncak iklim PBB di Dubai kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...