DENVER – Apabila Kevin Erickson menghidupkan kereta klasik Playmouth Satellite 1972 miliknya, ia mengeluarkan bunyi dengungan perlahan berbanding bunyi bising yang keluar daripada ekzos.
Meskipun kereta itu tidak menghasilkan bunyi, namun ia bukanlah rosak. Ia telah diubah suai menjadi kereta elektrik (EV).
Erickson merupakan antara kumpulan kecil tetapi semakin berkembang, jurutera, pelumba dan usahawan dari seluruh negara yang mengubah suai kereta dan trak vintaj mereka menjadi ‘lebih hijau’ dan mencipta EV yang lebih laju.
Meskipun sering menerima cemuhan kerana mengubah suai kenderaan seakan kereta golf atau kereta alat kawalan jauh, EV semakin diminati kerana teknologi bateri yang canggih dan dunia kini beralih kepada tenaga bersih untuk melawan perubahan iklim.
“Kereta RC sangat pantas, ia merupakan satu kebanggaan,” kata Erickson, yang menggelar keretanya ‘Electrollite’. Ia mampu memecut dari 0-60kmsj dalam masa tiga saat dan mampu mencecah 155kmsj.
Ia juga menarik perhatian orang ramai di tempat pengecasan EV, yang kini semakin banyak di liat di seluruh negara.
Pada asalnya di penghujung 2019, Erickson, yang juga merupakan seorang petugas kargo pesawat telah membeli kereta tersebut dengan harga AS$6,500. Dia kemudian memulakan projek jangka panjang setahun setengah untuk mengubah suai kereta menjadi EV yang mempunyai 636 kuasa kuda, menggunakan bateri, motor dan rangka belakang dari kereta Tesla Model S yang mengalami kemalangan.
“Inilah cara saya menjaga kereta yang saya minati dan kemudian mengabungkannya dengan teknologi dan persemabahan moden, ia menggabungkan kedua-duanya,” kata Erickson, yang membelanjakan kira-kira AS$60,000 ke dalam projek tersebut.
Jonathan Klinger, yang merupakan naib presiden Hagerty, sebuah syarikat insurans dan jenama gaya hidup automotif yang khusus dalam mengumpul kenderaan, berkata mengubah suai kereta menjadi EV ‘sememangnya satu trend’, meskipun penyelidikan untuk amalan ini terhad.
Pada Mei, syarikat yang berpangkalan di Michigan menjalankan kajian melalui laman web ke atas kira-kira 25,000 orang pengemar automotif di AS, Kanada dan United Kingdom (UK). Kira-kira satu peratus sama ada mengubah suai kereta mereka sebahagiannya atau secara keseluruhan.
Tiga sebab utama responden untuk menukar kenderaan mereka adalah untuk pecutan yang lebih pantas dan prestasi yang lebih baik, projek yang menyeronokkan dan mencabar, dan kerana kebimbangan alam sekitar dan pelepasan karbon.
Kira-kira 25 peratus daripada responden berkata mereka meluluskan kereta klasik diubah suai menjadi EV sama ada sebahagiannya atau keseluruhannya.
“EV kini mempunyai prestasi yang luar biasa disebabkan oleh bagaimana ia bergerak,” kata Klinger. Jadi tidak memeranjatkan baginya bahawa sebahagian kecil orang mengubah suai kereta klasik mereka menjadi EV.
Tetapi Klinger, yang memiliki beberapa buah kereta vintaj, berkata dia tidak merasakan motor elektrik tidak akan menggantikan semua enjin pembakaran dalaman – terutama apabila kereta itu penting dari segi sejarah.
“Terdapat kepuasan mengenai memiliki sebuah kereta vintaj yang mempunyai karburetor,” katanya, kerana ia sama seperti memiliki sebuah kereta baharu. Sebilangan pengemar ingin mengekalkan bunyi dan getaran enjin asal kereta lama.
Halangan lain untuk menukar kereta termasuk pengetahuan yang perlu ada untuk membuat satu projek yang rumit. Selain itu, terdapat kerisauan mengenai keselamatan bekerja dengan komponen voltan tinggi, ketersediaan alat ganti dan masa yang dikorbankan untuk menukar sesuatu yang lebih positif dan mesra alam.
Disebabkan kereta klasik dipandu secara purata kurang daripada 2,414 kilometer dalam setahun, ia mengambil masa yang lama untuk mengimbangi jejak karbon, kata Klinger.
Kemudian terdapat halangan dari segi harga.
Sean Moudry, pemilik bersama Inspire EV, sebuah perniagaan pengubah suai kecil di pinggir bandar Denver, baru-baru ini mengubah suai Ford Mustang 1065 yang ditinggalkan di tempat pembuangan. Projek setahun setengah itu menelan belanja lebih AS$100,000 dan terdapat beberapa halangan lain yang menunjukkan mengapa pengubah suaian bukan ganjaran ‘plug-and-play’.
Cuba untuk memberikan tenaga yang mencukupi ke dalam kereta itu untuk ‘beraksi lasak di atas trek perlumbaan’, Modury dan rakannya menggantikan enjin tiga silinder dengan motor Tesla Model S yang ditimpa kemalangan. Mereka juga memasang 16 pek bateri Tesla seberat 363 kilogram.
Meskipun syarikat ternama Ford dan General Motors pernah berhasrat untuk menghasilkan motor elektrik sendiri yang dipasarkan ke pemilik-pemilik kereta klasik, Moudry tetap mengatakan agak mustahil bagi pemandu kereta biasa untuk mendapatkan komponen-komponen yang sesuai bagi projek tersebut.
“Pada pandangan saya projek ini akan memakan masa 20 tahun,” katanya.
“Mungkin dalam 20 tahun akan datang barulah kita dapat melihat perkembangan dalam 50 ke 60 peratus buah kenderaan yang memiliki pelbagai varian motor elektrik di acara pameran kereta.”
Namun kenyataan tersebut mungkin akan tercapai dalam masa terdekat, menurut Mike Spagnola, presiden dan CEO Persatuan Pasaran Peralatan Khas, sebuah kumpulan perdagangan yang memfokuskan komponen-komponen kenderaan selepas pasaran.
Beliau berucap semasa acara pameran tahunan SEMA diadakan di Las Vegas pada musim luruh tahun ini, bahawa sekitar 21,000 kaki persegi ruang konvensyen diperlukan bagi mempamerkan kenderaan-kenderaan elektrik berserta komponen-komponennya di pameran tersebut berbanding 2,500 kaki persegi semasa pameran yang diadakan pada 2021. – AP