Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pasukan tuan rumah, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Tarian Asli Brunei Antara Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan dan Swasta Senegara Kali Pertama, Tahun 2023 yang berlangsung pada petang tadi di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
Tempat kedua telah dimenangi oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan pasukan Kolej Perdagangan dan Teknologi Kosmopolitan (CCCT) di tempat ketiga.
Pertandingan tarian asli Brunei ini bertujuan mengangkat budaya warisan yang tidak lapuk ditelan zaman dan pada masa yang sama diadakan bagi mencungkil bakat dalam bidang kebudayaan dan membina keyakinan diri dari segi mempelajari serta menghayati lebih mendalam lagi terhadap bidang tarian asli Brunei.
Ia juga mencungkil kreativiti masing-masing hingga berkembang ke peringkat pertandingan kebangsaan dan seterusnya mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Pertandingan disertai tujuh buah pasukan dari institusi pengajian tinggi tempatan terdiri daripada UBD, UTB, Politeknik Brunei, IBTE Kampus Bisnes, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) dan CCCT.
Pertandingan anjuran UBD itu telah diungkayahkan oleh Unit Kegiatan Luar dan Pembangunan Pelajar, Hal Ehwal Pelajar disokong oleh Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).