Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD kembali sertai Shell Eco Marathon

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) tahun ini kembali menyertai Shell Eco Marathon setelah beberapa tahun tidak menyertainya berikutan pandemik COVID.

    Sehubungan itu, pasukan UBD yang dikenali sebagai Perkasa Darussalam itu pagi tadi telah berlepas meninggalkan negara ke Lombok, Indonesia di mana acara Shell Eco Marathon bakal diadakan bermula pada 4 Julai depan.

    Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada pasukan UBD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada pagi tadi ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean.

    Di samping itu, di bawah pimpinan Awang Muhammad Ahmad Hasyer, pasukan UBD juga telah berusaha dengan gigih untuk mencipta sebuah kenderaan inovatif yang mampu menembusi bidang kecekapan tenaga.

    Kesungguhan dan kepakaran teknikal mereka yang tidak berbelah bahagi telah membolehkan mereka mengatasi pelbagai cabaran yang turut mempamerkan daya tahan dan kecerdasan para pelajar berkenaan.

    Doa Selamat dibacakan sebelum pasukan UBD yang terlibat dalam acara Shell Eco Marathon berlepas meninggalkan negara. – Gambar oleh Zaki Kasharan

    “Kami sangat teruja untuk kembali ke Shell Eco Marathon selepas berehat panjang akibat pandemik global.

    “Pasukan kami telah mencurahkan isi hati dan fikiran untuk membangunkan kenderaan yang inovatif dan mampan yang kami percaya berpotensi untuk dihasilkan dan memberi kesan yang besar terhadap masa depan,” kata Awang Muhammad Ahmad Hasyer.

    Kenderaan pasukan UBD yang diberi nama Mantuka Aswad membuktikan komitmen mereka terhadap kemampanan, menggunakan teknologi terkini dan prinsip reka bentuk untuk memaksimumkan kecekapan bateri. Ia turut mempamerkan pelbagai ciri inovatif, termasuk pengawal mikro yang diperbaharui.

    Justeru, dengan menyertai Shell Eco Marathon, pasukan UBD menyasarkan untuk menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau serta memberi inspirasi kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan mesra alam.

    Semasa ditemui pihak media, pemandu kenderaan pasukan UBD, Dayang Amal Bazilah binti Karim mengongsikan perasaan gemuruhnya kerana buat kali pertamanya akan mewakili pasukannya ke pertandingan tersebut.

    “Saya begitu gementar dan pada masa yang sama teruja untuk menghadapi pertandingan ini setelah giat berlatih sejak bulan lalu di mana kami berlatih dengan bersungguh-sungguh bagi mengatasi segala cabaran yang terpaksa kami hadapi.

    “Kami juga berharap untuk meraih kemenangan dan membawa kejayaan dalam pertandingan kali ini,” kongsi Dayang Amal Bazilah.

    Shell Eco Marathon juga menyediakan platform untuk rangkaian dan kerjasama dalam pengangkutan mampan yang menggalakkan pertukaran idea, kemajuan teknologi dan amalan terbaik dalam membina masa depan yang lebih mampan.

    Penglibatan UBD dalam acara itu juga mencerminkan komitmen universiti yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong pembangunan penyelesaian mesra alam.

    Pasukan UBD akan bersaing dengan universiti dan institusi terkemuka lain, menguji kecekapan tenaga dan ketahanan kenderaan mereka. Penyertaan mereka bukan sahaja akan memberi pengiktirafan kepada UBD tetapi juga menyerlahkan dedikasi universiti terhadap kecemerlangan akademik dan tumpuannya dalam menangani cabaran global yang mendesak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda