Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Sebanyak 63 karya pelajar Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dipamerkan dalam UBD Spectrum 2023: Lumen yang bermula hari ini hingga 9 Jun.
Pameran hasil karya pelajar berbakat daripada pelbagai kluster termasuk seni halus, reka bentuk fesyen, seni dan digital, pembangunan permainan, reka bentuk produk, penerbitan, filemografi, fotografi, seni bina dan reka bentuk dalaman serta arca dan pemasangan itu berlangsung di Dewan Canselor UBD.
Pelancaran program itu di Bilik Senat, dewan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle yang kemudian menyaksikan hasil karya pelajar DCI di ruang lain dewan berkenaan.
Terdahulu, Pengarah Spectrum Lumen, Nixlan Johan dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, melalui program itu dihasratkan dapat memberi inspirasi dan menanamkan kebanggaan dalam komuniti kreatif tempatan sambil menyampaikan matlamat dan dalam masa yang sama menawarkan perspektif kreatif baharu dan peranan yang lebih luas kepada orang ramai.
“Gabungan bakat dalam Spectrum 2023: Lumen ini telah membolehkan kami untuk terus menyokong pengembangan industri kreatif tempatan yang penting kepada ekonomi serta peluang kerjaya,” ujarnya.
Beliau seterusnya menjelaskan, Lumen ialah Unit SI bagi fluks bercahaya, Menerapkannya dalam konteks pameran, Spectrum 2023: LUMEN bermatlamat untuk menyinar ke arah kreatif dengan harapan ia akan berkembang dalam industri.
Melalui pameran berkenaan, pelajar mahukan pengunjung merasai apa itu industri kreatif, serta potensi dan kepentingan yang ditawarkan, di samping bercita-cita untuk menyalakan keperibadian dan imaginasi yang disampaikan melalui setiap karya dengan harapan ia menjadi sumber cahaya dalam kegelapan yang terus bersinar dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk memakmurkan dan memajukan industri kreatif yang semakin berkembang.
