Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    UBD, VT jalin kerjasama penyelidikan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Virginia Tech (VT), yang sebelumnya dikenali sebagai Virginia Polytechnic Institute and State University, telah memulakan penyelidikan bersama untuk mempergunakan sumber-sumber biodiversiti dengan menggubahnya menjadi kejuruteraan bioinspirasi dalam teknologi-teknologi digital.

    Acara yang diadakan di Bangunan Integrated Science, UBD, hari ini menandakan pembukaan rasmi kerjasama penyelidikan antarabangsa berkenaan yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Pemangku Timbalan Ketua Misi dan Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Jeff Barrus.

    Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Global, UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean di majlis tersebut menyampaikan ucapan alu-aluan dan merasmikan kerjasama itu.

    Dalam ucapannya itu, Dr Joyce antara lain menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai salah satu biodiversiti hutan hujan terkaya di dunia di mana ia dihuni sekurang-kurangnya 6,000 spesies tumbuhan vaskular dan menyumbang 644 spesies amfibia, burung dan reptilia.

    Beliau juga menekankan tentang kepentingan pembangunan mampan dan peranan bioinspirasi dan biomimikri yang menggunakan pendekatan berorientasikan teknologi untuk membangunkan cara inovatif dalam memelihara habitat biologi yang pelbagai.

    Dr Hazri dan Jeff Barrus semasa melawat makmal penyelidikan yang dilengkapi dengan perkakasan berkuasa dan unik.

    Kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kepada hasil penyelidikan yang inovatif, malahan membangunkan kapasiti tempatan dalam bidang tersebut.

    Sementara itu, dalam perutusan Naib Presiden VT, Dr Guru Ghosh dan Dekan Kejuruteraan di VT, Dr Julia Ross, kedua-duanya mengucapkan terima kasih kepada UBD kerana menyediakan platform untuk peluang penyelidikan itu.

    Menurut mereka, gabungan kejuruteraan dan penghayatan biodiversiti menawarkan peluang penting dalam membawa penyelesaian kejuruteraan bioinspirasi generasi akan datang ke lokasi utama dalam rantau ASEAN dan yang akan menghasilkan dokumentasi yang lebih baik dan seterusnya pemeliharaan biodiversiti seluruh rantau yang berkekalan.

    Acara telah diakhiri dengan pameran teknikal dan lawatan ke Makmal Penyelidikan Sains dan Teknologi UBD-VT, makmal penyelidikan yang dilengkapi dengan perkakasan berkuasa dan unik seperti tatasusunan video berkelajuan tinggi 50 kamera dan robot cetakan 3D biomimetik.

    UBD dan VT menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 2019 dan sejak itu telah mengusahakan beberapa bidang kerjasama aka-demik dan penyelidikan, dan sebagai sebahagian daripada kerjasama penyelidikan semasa, UBD kini menghoskan profesor Fulbright iaitu Profesor Dr Rolf Mueller dari VT, serta 14 orang pelajar .

    Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada pelajar dari pelbagai universiti Amerika seperti VT, Brown University, University of Maryland, Duke University, Texas A&M University dan University of Buffalo, yang sedang menjalankan latihan penyelidikan di UBD bersama-sama lapan orang pelajar UBD yang kini terlibat dalam kerja penyelidikan bioinspirasi, mengambil bahagian secara aktif dalam reka bentuk, pendirian dan fungsi infrastruktur penyelidikan.

    Dr Rolf Muller yang merupakan profesor Jabatan Kejuruteraan Mekanikal & Pengarah Pusat BIST, VT, ketika ditemu bual telah menjelaskan bahawa teras projek berkenaan adalah untuk menggunakan biodiversiti Borneo untuk mengatasi masalah teknikal.

    Jadi apa yang mereka mahu lakukan ialah membawa teknologi ke sini dan menggunakan perkakasan dan perisian AI untuk lihat dengan tepat bagaimana haiwan melakukan perkara menakjubkan yang mereka lakukan dan memahaminya.

    “Jadi kami mulakan dengan beberapa robot yang telah kami bangunkan, walaupun belum siap sedia buat masa ini,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...