Berita pemergian vokalis XPDC iaitu Mael bukan sahaja mengejutkan peminat muzik tanah air tetapi juga anggota kumpulan berkenaan yang masih dalam keadaan tidak percaya.
Pemain dram XPDC iaitu Amy atau Amy Suhaimi Abu Bakar berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Allahyarham pada 1 Syawal lalu menerusi WhatsApp bagi mengucapkan Selamat Hari Raya dan saling bermaaf-maafan.
“Saya memang terkejut apabila mendapat panggilan daripada pengurus kami memaklumkan Mael sudah meninggal dunia.
“Masa hari raya pertama, kami berhubung menerusi WhatsApp dan waktu itu dia baik-baik sahaja, kami tidak sempat menziarahi satu sama lain tetapi ada berhubung menerusi telefon,” katanya kepada mStar.
Amy berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada upacara pengebumian Mael di Tanah Perkuburan Islam Al-Raudah, Bakri Batu 5, Muar, Johor pada hari ini.
Dalam pada itu, Amy mendedahkan mereka sepatutnya bertemu untuk menjayakan persembahan di Kedah dan Serdang, Selangor pada 5 dan 6 Mei ini namun hasrat itu tidak kesampaian.
Malah katanya, XPDC juga telah merangka beberapa persembahan lain namun semua perancangan itu dibatalkan bagi memberi penghormatan atas pemergian Mael. “Ada dua persembahan yang sudah confirm pada 5 dan 6 Mei ini. Apa-apa pun sekarang kami akan berehat seketika daripada sebarang persembahan pentas bagi memberi penghormatan atas pemergian Allahyarham,” ujarnya. – Agensi