Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ujian darah baharu kesan risiko Alzheimer 15 tahun lebih awal

    NEW DELHI – Ahli-ahli sains saraf Sweden telah membangunkan ujian darah baharu yang dapat mengesan risiko penyakit Alzheimer 15 tahun sebelum gejala mula muncul dalam
    kalangan orang yang berumur lebih 50 tahun.

    Penyakit Alzheimer, gangguan otak yang menjejaskan ingatan dan kemahiran berfikir, adalah jenis demensia yang paling biasa, menurut Institut Kesihatan Nasional.

    The Statesman melaporkan, ujian berkenaan mengukur tahap protein dalam darah yang digelar fosforilasi tau (p-tau) – biomarker darah khusus untuk patologi penyakit Alzheimer (AD).

    Imbasan atau punktur lumbar adalah kaedah semasa untuk mengenal pasti amiloid beta dan tau yang terkumpul dalam otak orang yang menghidap penyakit berkenaan. Namun ia bukan sahaja sering tidak boleh diakses malah mahal.

    Kajian itu, yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Neurology, menunjukkan bahawa ujian darah mudah baharu itu adalah 96 peratus tepat dalam mengenal pasti paras amiloid beta yang tinggi dan sehing-ga 97 peratus tepat dalam mengenal pasti tau.

    Gambar Freepik

    “Kajian ini menyerlahkan keberkesanan ujian plasma p-tau217 yang tersedia secara komersial dalam mengenal pasti patologi AD. Hasilnya menekankan peranan penting plasma p-tau217 sebagai alat pemeriksaan awal dalam pengurusan gangguan kognitif dengan menyerlahkan mereka yang mungkin mendapat manfaat daripada imunoterapi anti-amyloid,” kata para penyelidik yang diketuai oleh Nicholas J. Ashton dari Jabatan Psikiatri dan Neurokimia di University of Gothenburg, Sweden.

    “Apa yang mengagumkan dengan keputusan ini, ujian darah adalah sama tepat seperti ujian lanjutan umpamanya ujian cecair serebrospinal dan imbasan otak yang menunjukkan patologi AD dalam otak,” Ashton dipetik memberitahu CNN.

    Ujian yang digunakan dalam kajian baharu itu, digelar ujian ALZpath pTau217, ialah alat yang tersedia secara komersial yang dibangunkan oleh syarikat ALZpath. ALZpath menganggarkan harga ujian boleh antara AS$200 dan AS$500.

    “Biomarker berasaskan darah yang berkesan dan tepat akan membolehkan penilaian yang lebih komprehensif tentang kemerosotan kognitif dalam tetapan di mana ujian lanjutan adalah terhad,” tulis para penyelidik dalam kajian mereka.

    “Oleh itu, penggunaan biomarker darah bertujuan untuk meningkatkan diagnosis AD awal dan tepat, yang membawa kepada pengurusan pesakit lebih baik dan, akhirnya, akses tepat pada masanya kepada terapi disesuaikan dengan penyakit.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...