Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Setakat ini tidak ada kes jangkitan tempatan Omicron dikesan di negara ini di mana kes Omicron yang dicatat di negara ini adalah kes import.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenainya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, kes jangkitan tempatan masih lagi menunggu kajian yang mana ia mengambil masa untuk mendapat keputusannya dan masa terdekat ini, jika sudah keputusan diperolehi akan diumumkan jika ada jangkitan Omicron tempatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bersama cemas jika adanya kes jangkitan Omicron tempatan.
Apa yang penting, jelasnya, orang ramai memainkan peranan penting dengan sentiasa menjaga SOP seperti pemakaian pelitup muka dan sebagainya.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyeru orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak (booster) bila sudah cukup masa atau tempohnya selepas pengambilan dos kedua vaksin.
“Seperti yang diketahui, Omicron mudah merebak tapi gejalanya ringan dan dengan situasi di negara yang mempunyai vaksinasi lebih 90 peratus, gejala Omicron ini hanya akan berdapat di tahap 1 atau 2 saja.”
Katanya lagi, “Mereka yang telah mendapatkan dua dos vaksin hanya boleh mengurangkan gejala jika dijangkiti tapi jika mereka yang telah mendapatkan dos booster ia adalah 90 peratus lebih baik daripada yang telah mendapatkan dua dos vaksin.”
Seperti yang diketahui, tambahnya, beberapa buah negara luar sudah menukar dasarnya, mereka yang telah mendapatkan dos penggalak barulah dikira telah lengkap mendapatkan vaksin.