Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK sumbang 100 juta dos vaksin menjelang Jun 2022

    LONDON, 28 JULAI – Britain mengumumkan hari ini ia akan mula menyumbang jutaan vaksin koronavirus di seluruh dunia, termasuk negara Komanwel, berikutan janjinya untuk menyediakan 100 juta dos vaksin di seluruh dunia menjelang Jun tahun depan.

    Setiausaha Luar Negara Dominic Raab berkata pengeluaran sembilan juta dos vaksin, dijangka dilancarkan pada Jumaat, akan disalurkan ke Kenya, Jamaica dan beberapa negara Asia.

    “Vaksin akan dihantar ke negara-negara, tempat mudah terdedah seperti Laos dan Kemboja, rakan seperti Indonesia, Malaysia dan beberapa negara Komanwel dari Kenya ke Jamaica,” kata beliau.

    “Ia menunjukkan kami bukan sahaja melakukannya disebabkan ia merupakan kepentingan kami. Ia menunjukkan Britain sebagai kuasa penyelamat nyawa di dunia.”

    Britain telah komited untuk berkongsi 100 juta dos vaksin COVID-19 pada pertengahan tahun depan menerusi program Covax, yang bertujuan memastikan pengagihan adil dos vaksin, dan secara langsung kepada negara individu.

    Perdana Menteri Boris Johnson akan mencapai persetujuan mengenai tawaran 817,000 dos untuk Kenya apabila beliau bertemu dengan Presiden Uhuru Kenyatta pada lewat hari ini.

    Kedua-dua pemimpin dijangka menganjurkan sidang kemuncak di London esok, dihadiri oleh pemimpin dunia serta wakil perniagaan, badan kebajikan, pendidikan dan belia, yang menumpu pada usaha pendidikan global.

    Kira-kira separuh daripada dos vaksin AstraZeneca akan dihantar ke Nairobi pada minggu ini, kata Downing Street sebelum mesyuarat.

    Komitmen UK adalah berpunca daripada janji G7, diumumkan pada sidang kemuncak anjuran UK pada Jun, untuk membekalkan sekurang-kurangnya satu bilion dos di seluruh dunia menerusi skim perkongsian dan pembiayaan. – AFP

    Gambar fail menunjukkan bebuli kosong vaksin Pfizer dan AstraZeneca di pusat vaksinasi di Rosenheim, selatan Jerman. Britain mengumumkan ia akan mula menyumbang jutaan vaksin koronavirus di seluruh dunia, termasuk negara Komanwel, menjelang Jun depan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda