Gelagat pelakon Ungku Ismail Aziz mengajar anak tirinya mengaji dan membaca Iqra mencuri perhatian warganet.
Menerusi perkongsian isterinya iaitu pelakon Nad Zainal di In stagram, Ungku, 39, dilihat begitu tegas dan serius ketika sesi pembelajaran tersebut, dedah mStar.
Berkongsi video momen itu, Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 34, menyifatkan gaya dan ekspresi Ungku ketika mengajar anaknya itu seakan seorang guru besar di sekolah.
Bukan anak-anak sahaja yang takut, malah dia turut berasa kecut perut melihat ketegasan suaminya itu.
“Guru besar in action. Subjek matematik dah boleh lepas. Sekarang Iqra.

“Masa macam ni yang lain auto jadi pendiam, takut kami pula kena baca Iqra tu. Aku dahaga nak ke dapur pun takut tengok,” katanya menerusi kapsyen.
Dalam nada berseloroh, Nad memberitahu dia sanggup mengalihkan perhatian suaminya dengan memesan kopi sekiranya anaknya memerlukan bantuan.
“Satu je nak cakap. Kalau agak-agak memerlukan bantuan, buat batuk tiga kali ok? Mummy order kopi dekat abah supaya dia rehat,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap Ungku Ismail yang dilihat tidak bersikap pilih kasih dalam mendidik anak-anak tirinya.
“Seronok dapat suami macam ini, dia yang jaga dan didik anak-anak walaupun bukan anak sendiri.
“Untung anak-anak Nad, dapat bapa tiri yang boleh mengajar,” komen warganet. – Agensi

