Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Sebanyak 500 pek makanan telah disediakan oleh 55 orang sukarelawan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan diagihkan ke beberapa buah masjid di Daerah Tutong untuk jamuan iftar menerusi Projek Amal Kasih, baru-baru ini.
Projek berkenaan dijalankan oleh Persatuan Pelajar Halalan Thayyiban (HTSS), Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Fakulti Pertanian (FASS) di Kampus Sinaut, UNISSA, Tutong.
Turut hadir bagi projek tersebut ialah Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, tenaga akademik, kakitangan dan para pelajar UNISSA.
Menurut UNISSA, projek merupakan medium untuk bersedekah hasil sumbangan warga UNISSA dengan tempoh menerima sumbangan telah berjalan dari 18 hingga 28 Mac yang lalu.
Pek-pek makanan berkenaan telah disumbangkan kepada sembilan buah masjid antaranya Masjid Hassanal Bolkiah; Masjid Kampung Penanjong; Masjid Kampung Keriam; Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal; Masjid Haji Abdul Azim, Kampung Luagan Dudok; Masjid Kampung Sinaut; Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos; Masjid Kampung Birau; dan Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.
Projek tersebut adalah bagi sama-sama menyokong usaha universiti dan Negara Brunei Darussalam terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) yang memfokuskan kepada SDG1 (tiada kemiskinan) dan SDG2 (sifar kelaparan).
Di samping itu, projek itu juga menunjukkan keprihatinan warga UNISSA yang tinggi terhadap mereka yang memerlukan di samping meningkatkan amal jariah selaras dengan objektif program iaitu untuk mengutamakan amalan bersedekah sebagai amalan jariah terutama dalam bulan suci Ramadan.