Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    UNISSA anjur FSL Legal Week 2023

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Dalam memberikan pendedahan mengenai dunia perundangan, Persatuan Mahasiswa Syariah dan Undang-undang (SHALAWSOC) bersama Persatuan Pelajar Undang-undang Asia (ALSA) Brunei, di bawah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSL), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan FSL Legal Week 2023, baru-baru ini.

    Program yang berlangsung dari 2 hingga 7 Oktober lalu itu bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai dunia perundangan kepada mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Syariah dan Undang-undang dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang bermanfaat serta berkemampuan untuk menarik minat mereka dalam bidang undang-undang.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian program berkenaan pada 2 Oktober di Auditorium, UNISSA ialah Dekan FSL, Profesor Dato Dr Haji Zulkifly bin Haji Muda.

    Antara pengisian program adalah sesi Teh Tarik yang merupakan sesi perkongsian pengalaman daripada alumni UNISSA, Bengkel Kemahiran Pengucapan Awam yang disampaikan oleh Brunei Speakers Club; dan taklimat bertajuk Menaik Taraf Kualiti Diri ke arah Bertaraf Profesional Buat Lepasan UNISSA yang disampaikan oleh Haji Suhaili bin Haji Momin selaku Peguam Syarie dari Al-Wady Consultant.

    Turut diadakan adalah Dean’s Moot Court Competition yang bertujuan untuk mengasah kemahiran dan kemampuan mahasiswa dan mahasiswi dalam membicarakan kes sebagai seorang peguam atau pendakwa.

    Peserta pertandingan itu terbahagi kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu kes untuk dihujahkan sebagai seorang peguam atau pendakwa selama 40 minit di hadapan hakim.

    Manakala itu, Client Counselling Competition pula berobjektif untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan mahasiswa dan mahasiswi dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan undang-undang di dunia nyata.

    Program berakhir dengan majlis penutup yang diisikan dengan Sesi Muzakarah dan pengumuman para pemenang dua pertandingan yang diadakan. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Profesor Dato Dr Haji Zulkifly.

    Penyampaian sijil penghargaan kepada wakil Brunei Speakers Club. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Para Pensyarah dan para mahasiswa/i FSL, UNISSA bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...