Oleh Mu’min Karim
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Unit Tarbiah, Persatuan Alumni UNISSA bersama dengan Unit Keagamaan dan Takmir Surau Al-Syafi’i, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 UNISSA telah mengadakan Majlis Mawlid Akbar baru-baru ini bertempat di Auditorium, UNISSA.
Seramai 115 jemputan yang hadir terdiri daripada warga mahasiswa dan mahasiswi UNISSA, ahli-ahli Persatuan Alumni UNISSA dan jemputan dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, diikuti dengan bacaan mawlid dan tazkirah bertajuk ‘Meraih Syafaat Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh Ketua Pejabat Alumni UNISSA, Dr Hafini bin Mahmud. Acara diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai.
Antara objektif majlis tersebut ialah bagi meningkatkan kecintaan belia kepada Nabi Muhammad SAW dan menghidupkan sunnah Baginda di samping untuk menanamkan ketakwaan dalam diri dengan menjadikan Baginda sebagai ikutan serta mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai institut pengajian tinggi di negara ini.