Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sangat komited untuk meningkatkan kualiti dan melonjakkan reputasinya di persada antarabangsa.
Sehubungan itu, UNISSA telah memperkenalkan pelan strategiknya yang baharu bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2019 hingga 2023 sebagai rujukan dan panduan kepada UNISSA dalam usaha memastikan perancangan adalah sejajar dengan visi baharunya iaitu menjadi hab pengajian tinggi Islam di rantau ini.
Perkara tersebut merupakan salah satu inisiatif perkembangan dan kemajuan yang telah dikongsikan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa menyampaikan sembah alu-aluannya pada Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-9 UNISSA di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Dalam sembah alu-aluannya, Rektor UNISSA menekankan bahawa UNISSA telah menerima anugerah Sijil Pengiktirafan Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015 dalam aspek ‘Penawaran Pengajian Islam dan Penyelidikan Peringkat Universiti’ baru-baru ini. Penganugerahan sijil tersebut merupakan satu pengiktirafan yang signifikan ke arah pemangkin pengurusan yang lebih cemerlang.
Dari segi pembangunan akademik, Dr Haji Norarfan mengongsikan bahawa pada tahun ini, program akademik UNISSA telah diperluas dan dipelbagaikan dengan penawaran enam program akademik yang baharu sama ada di peringkat lepas ijazah mahupun di peringkat prasiswazah.

Program-program tersebut merangkumi Pengurusan Pembangunan dan Ekonomi Islam. Penawaran program ini merupakan satu inisiatif UNISSA untuk menyediakan platform pembelajaran dan pengajaran asas dalam bidang ekonomi dan pengurusan pembangunan berteraskan Islam bagi memacu perkembangan ekonomi dan ke arah pengurusan pembangunan negara yang mapan dan berkualiti menepati kehendak duniawi dan ukhrawi.
Beliau juga menekankan bahawa selain mengambil perhatian terhadap perkembangan intelektual pelajar, UNISSA juga komited untuk memperlengkapkan pelajarnya dengan pelbagai kemahiran sebagai nilai tambah kepada para pelajarnya dengan memperluas bidang kokurikulumnya mengikut keperluan semasa.
“Alhamdulillah, bermula sesi akademik tahun ini, UNISSA telah mula memperkenalkan Kadet Polis Diraja Brunei, Kadet Bomba dan Penyelamat serta pasukan beruniform pengakap yang dilihat mampu melahirkan pelajar berdisiplin dan memiliki sahsiah kental,” kongsi Rektor UNISSA.
Bagi memastikan kelangsungan pembangunan kapasiti tenaga akademik tempatan, Dr Haji Norarfan mengongsikan UNISSA telah memperkenalkan ‘Skim Khubara’ iaitu skim pakar yang bertujuan untuk memupuk dan menarik minat anak-anak tempatan yang berpotensi tinggi untuk menjadi tenaga akademik UNISSA, sekali gus diasuh untuk menjadi pakar dalam bidang yang diperlukan negara.
Mereka yang layak akan diberikan peluang serta insentif yang menarik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di mana mereka ini setelah tamat pengajian nanti akan diikat jamin untuk berkhidmat dengan UNISSA.
Selain itu, buat julung kalinya dan berdasarkan kelayakan yang ada, dua orang tenaga akademik tempatan UNISSA telah dilantik sebagai profesor madya dalam bidang Bahasa Arab dan kewangan Islam.
Pengiktirafan tersebut adalah satu lagi pencapaian yang merupakan salah satu milestone UNISSA dalam melonjakkan lagi reputasinya selaras dengan kehendak Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik yang baharu, selain untuk melahirkan pakar tempatan dalam bidang-bidang tertentu mengikut keperluan negara.
Dari aspek penyelidikan dan penerbitan, beliau mengongsikan UNISSA menyedari bahawa kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan tidak hanya bermatlamatkan untuk meningkatkan martabat sistem pendidikan sesebuah universiti, malah menjadi aset yang penting bagi negara.
Sehubungan itu, melalui Pusat Penyelidikan Mazhab Syafie, UNISSA telah berjaya menerbitkan Ensiklopedia Mazhab Shafie yang mengandungi empat jilid pada bulan April 2019 yang lalu di mana penerbitan ensiklopedia berkenaan merupakan sumbangan signifikan UNISSA untuk membangun intelektual masyarakat dalam memahami dan mendalami Mazhab Shafie sebagai mazhab rasmi negara.