Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    United benam Leicester

    MANCHESTER, 20 FEB – Erik ten Hag berkata Marcus Rashford (gambar-AP) membantu Manchester United untuk pulih daripada permulaan hambar, selepas penyerang England itu menjaringkan dua gol semasa kemenangan 3-0 ke atas Leicester.

    Sementara itu, pemilik United, keluarga Glazer sedang mempertimbangkan bidaan daripada Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani, pengerusi salah satu bank terbesar Qatar, dan jutawan British, Jim Ratcliffe.

    Bidaan masih boleh dibuat di tengah-tengah laporan United mungkin mempunyai pemilik baharu dalam tempoh enam minggu – tetapi pasukan Ten Hag terus fokus kepada perlawanan.

    Rashford telah menjadi kunci kepada prestasi mengagumkan United pada musim pertama Ten Hag dan penyerang England itu terbukti sukar dikekang oleh pertahanan Leicester di Old Trafford.

    Rashford menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan musim ini, jumlah gol tertinggi yang pernah dicapai dalam satu musim.

    Marcus Rashford meraikannya gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di stadium Stamford Bridge di Manchester, England. – AP

    Hebatnya, 16 daripada gol itu muncul dalam 17 penampilan sejak dia kembali dari Piala Dunia pada Disember.

    Pemain berusia 25 tahun itu juga merupakan pemain United pertama yang menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut di tempat sendiri sejak Wayne Rooney pada 2010.

    Rashford mengharungi tempoh sukar sebelum pelantikan Ten Hag musim lalu, menimbulkan dakwaan penyerang itu mungkin akan meninggalkan Old Trafford.

    Tetapi Rashford kini menjadi pemain United yang paling berpengaruh selepas kembali menemui rentak yang menjadikannya pemain remaja sensasi.

    United kini berada di tempat ketiga, lima mata di belakang Arsenal, selepas kemenangan ketiga dalam empat perlawanan terakhir. Ten Hag mengecilkan harapan pasukannya untuk mengejar Arsenal, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan menentang United.

    United tanpa trofi utama sejak 2017, apabila mereka memenangi Piala Liga dan Liga Europa, manakala gelaran Liga Perdana terakhir mereka dikecap 10 tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda