Sunday, June 23, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Universiti California anjur kelas dalam talian berhubung demonstrasi

    LOS ANGELES, 14 JUN – California State University, Los Angeles, di negeri California barat Amerika Syarikat (AS), mengumumkan kelmarin bahawa semua kelas dan operasi di kampus utama universiti akan diadakan secara dalam talian sehingga diberitahu kelak selepas demonstrasi berlarutan hingga ke malam, berhubung konflik Israel-Hamas di Gaza, lapor Xinhua.

    “Tolong jangan datang ke kampus utama,” kata universiti Los Angeles itu dalam amaran tindakan protes di laman webnya.

    Sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin mengambil alih bangunan perkhidmatan pelajar universiti, yang termasuk pejabat presiden universiti, pada petang Rabu. Beberapa pentadbir universiti dilaporkan terperangkap di dalam bangunan itu selepas pihak universiti menggesa pekerja berlindung di tempat masing-masing.

    Hantaran media sosial menunjukkan penunjuk perasaan menguatkan penghadang mereka di luar bangunan pada waktu malam sambil menunggu Presiden Cal State LA, Berenecea Johnson Eanes, berunding dengan mereka.

    Menjelang pagi kelmarin, kumpulan itu telah bersurai dari bangunan berkenaan, tetapi mereka meninggalkan kerosakan besar di luar dan dalam bangunan, lapor stesen televisyen tempatan KABC, sambil menambah bahawa grafiti pro-Palestin menutupi banyak tingkap di tingkat bawah dan video dari dalam menunjukkan tingkap pecah, lebih banyak grafiti dan serpihan berselerak di seluruh tempat.

    Protes itu berlaku dua hari selepas 25 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan polis pada Isnin di University of California, Los Angeles. Pelajar mendirikan ‘Perkemahan Solidariti Gaza’ di Cal State LA pada 1 Mei lalu, menyeru universiti dan rakan kongsinya supaya tidak menjalankan perniagaan dengan Israel. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia bantu tingkat kesediaan penyakit serantau

    CANBERRA, 21 JUN – Agensi sains kebangsaan Australia akan membantu negara-negara di Pasifik dan Asia Tenggara agar lebih bersedia menghadapi wabak penyakit, umum kerajaan...