Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    UNN labur $85 juta dalam projek ALC, tingkat kapasiti data

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Dengan matlamat untuk meningkatkan kapasiti data di rantau Asia Tenggara dan menaikkan taraf kapasiti tempatan, sebuah konsortium syarikat-syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian untuk melabur dalam sebuah sistem kabel dasar laut di Asia Tenggara pada 7 November lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNN, hari ini, konsortium tersebut terdiri daripada China Telecom Global Ltd (CTG), China; Globe Telecom Inc (Globe) dan DITO Telecommunity Corporation (DITO), Filipina; Singapore Telecommunications Ltd (Singtel), Singapura dan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Negara Brunei Darussalam.

    Keseluruhan kos kolektif pelaburan bagi sistem kabel dasar laut yang dirancang, Asia Link Cable (ALC), sekitar AS$300 juta di mana UNN melabur sehingga AS$60 juta ($85 juta).

    ALC yang dianggarkan 6,000 kilometer panjang itu menghubungkan Hong Kong SAR China dan Singapura sebagai rangkaian utama dengan akses jaringannya menuju ke Brunei Darussalam, Hainan, China dan Filipina serta dijangka siap menjelang suku ketiga 2025.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler menyatakan Negara Brunei Darussalam terletak di Pulau Borneo dan bergantung kepada kesalinghubungan yang boleh dipercayai di dunia. Beliau berkata pelaburan UNN dalam ALC itu adalah untuk menangani permintaan yang semakin meningkat di Brunei Darussalam dan serantau serta meningkatkan kebolehpercayaan sambungan antarabangsa negara.

    “Sebagai operator infrastruktur kebangsaan di Brunei, UNN sedang melengkapkan sambungan dasar laut dengan rangkaian akses gentian dipercepatkan, kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi dan pelaburan dalam infrastruktur Pusat Data.

    “Bersama dengan Borneo IX yang dilancarkan pada 2021, kita sudah bersedia bagi keperluan pendigitalan negara dan bagi pelanggan multinasional,” tambahnya.

    ALC itu akan mengamalkan seni bina sistem kabel terbuka untuk mengurangkan kebergantungan rakan kongsi konsortium kepada mana-mana pembekal tunggal dan mempercepatkan proses naik taraf kapasiti dalam memenuhi keperluan dalaman dan pelanggan.

    Ia bererti, ahli konsortium boleh memilih peralatan terbaik secara bebas antara satu sama lain bergantung pada keperluan dan pilihan masing-masing.

    Dengan lokasi strategik dan prospek pertumbuhan digital yang baik, terdapat minat yang meningkat untuk saling menghubungkan rantau trans-Asia, memperkayakan infrastruktur bagi bakal pelanggan. ALC itu juga akan membantu kemudahan sedia ada dalam memenuhi keperluan masa depan di rantau ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...