Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNN promosi budaya HSE di tempat kerja

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Unified National Networks (UNN) telah mengadakan Hari Keselamatan pertamanya bagi rakan-rakan di UNN Telephone House (TelHouse), kelmarin, di mana lebih 130 orang pengunjung menghadiri pameran pengetahuan berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNN, agensi-agensi daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Kementerian Kesihatan terutamanya dari Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Unit Tembakau, Unit Kesihatan Mental, Unit Program Kesihatan Tempat Kerja dan Bahagian Kesihatan Pekerjaan (OHD) telah dijemput untuk berkongsi maklumat berkaitan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar bagi tempat kerja.

    Antara yang diketengahkan pada acara itu termasuk seat belt convincer yang dibawakan oleh MKKJR bagi menunjukkan kepentingan menggunakan tali pinggang keselamatan.

    JBP pula mengongsikan statistik kebakaran rumah dan bangunan di Brunei serta komponen-komponen yang biasa menyebabkan kebakaran.

    Perwakilan Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemeriksaan tekanan darah dan BMI sebagai sebahagian daripada program pemeriksaan kesihatan asas.

    Kenyataan menyatakan, pameran sehari itu dianjurkan oleh pasukan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) UNN untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan dan keselamatan dalam operasi harian di tempat kerja dan untuk memupuk budaya kesihatan dan keselamatan di syarikat.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler melancarkan Hari Keselamatan UNN 2021 di mana beliau berkata, ini merupakan Hari Keselamatan pertama UNN dan mungkin memberikan petanda jelas bahawa kesihatan dan keselamatan menjadi sebahagian daripada perniagaan harian, operasi dan budaya mereka di UNN.

    “Bagi kami, ini adalah titik permulaan untuk bukan sahaja memfokuskan terhadap keselamatan malah terhadap kesihatan dan alam sekitar,” ujar beliau.

    Majlis pelancaran diakhiri dengan Dr Steffen menyampaikan token penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dari MKKJR, JBP, JASTRe dan Kementerian Kesihatan. Turut hadir ialah pasukan pengurusan kanan UNN, pasukan HSE UNN dan kakitangan UNN.

    Pengunjung menyaksikan salah satu pameran yang diadakan. – Gambar serahan UNN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda