Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-66, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam telah mengadakan upacara menaikkan bendera kebangsaan di perkarangan suruhanjaya berkenaan di sini, hari ini.
Hadir pada upacara itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam,
Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah selain beberapa orang pegawai dan kakitangan suruhanjaya serta para jemputan khas terdiri daripada warga Malaysia yang berada di negara ini.
Tuan Yang Terutama dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa Brunei Darussalam adalah negara sahabat yang akrab dan dekat di hati keluarga Malaysia.
Hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1984 adalah istimewa,
berlandaskan rumpun Melayu, kesultanan Melayu dan bertunjangkan agama Islam serta pertalian keluarga.
Hubungan ini, ujar beliau, diperkukuhkan lagi dengan kekerapan lawatan di peringkat tinggi kedua-dua negara merupakan cerminan keutuhan kedua buah negara berkenaan.
Pertukaran lawatan yang kerap di peringkat tertinggi juga adalah cerminan keutuhan hubungan istimewa.
Malaysia dan Brunei memiliki hubungan istimewa dan akrab dengan kerjasama yang amat baik dalam pelbagai bidang, sejak bertahun-tahun, hubungan kedua-dua negara terus berkembang, ditunjangi oleh nilai-nilai Islam dan budaya Melayu yang menjadi teras bersama.
Beliau secara peribadi amat bangga dengan pencapaian komuniti Malaysia yang menjangkau lebih kurang 25,000 orang di negara ini yang memberikan sumbangan besar dalam pembangunan dan kesejahteraan negara Brunei.
Salah seorang rakyat Malaysia yang menetap di Brunei selama lebih satu tahun setengah, Jagdish Singh ketika ditemui pada majlis itu berkata, “Saya suka tinggal di Brunei.
Sungguh indah tinggal di Brunei kerana terdapat banyak kehijauan, tidak banyak lalu lintas, tiada siapa membunyikan hon semasa memandu.
“Dari segi budaya, orang di Brunei dan Malaysia agak serupa, kami adalah orang yang sopan dan menghormati antara satu sama lain,” ujar beliau yang bekerja sebagai perunding di UNN.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan sesi ramah mesra yang berlangsung di Dewan Serbaguna Suruhanjaya Tinggi Malaysia.