Oleh Nurdiyanah R & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Dengan berkibarnya bendera besar Negara Brunei Darussalam di ruang udara ibu negara pagi tadi, majlis menaikkan dan pengagihan bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun telah diadakan di keempat-empat daerah.
Di Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di kawasan letak kereta Jabatan Daerah Brunei dan Muara di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Pada majlis itu, tetamu kehormat menyampaikan bendera kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi upacara menaikkan bendera dengan diiringi lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik.
Selepas itu, majlis diteruskan di dewan teater bagi pengagihan bendera dan sijil penghargaan kepada para penghulu mukim, persatuan-persatuan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Di Daerah Tutong, upacara berlangsung di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat bagi mengagih-agihkan bendera kepada para penghulu mukim ialah Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Pada upacara itu, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin menyerahkan bendera kebangsaan kepada tetamu kehormat yang seterusnya menyerahkannya kepada anggota PPDB untuk dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan.
Bagi Daerah Belait pula, upacara diadakan di Taman Persiaran Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Pada majlis itu, Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed membawa masuk bendera untuk diserahkan kepada tetamu kehormat yang seterusnya menyerahkannya kepada anggota PPDB untuk dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik.
Tetamu kehormat kemudian menye-rahkan bendera-bendera negara kepada para penghulu dan pemangku penghulu mukim serta wakil dari persatuan-persatuan di Daerah Belait.
Manakala itu, di Daerah Temburong, hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Dengan berkibarnya bendera besar Negara Brunei Darussalam menandakan bermulanya untuk mengibarkan ben-dera di seluruh negara sehingga 31 Julai depan.