Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara menaikkan bendera diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan, Ak Zaki Kasharan, & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Dengan bendera besar Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah di ibu negara kelmarin, pelbagai pihak di negara ini telah mengadakan upacara menaikkan bendera bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan ke-39.

    Kelmarin, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah mengadakan upacara seumpamanya di kampus universiti berkenaan di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah penolong naib canselor, pegawai utama UTB, kakitangan dan pelajar universiti berkenaan.

    Upacara menaikkan bendera telah disempurnakan oleh anggota Kadet Tentera UTB dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan ‘Tekad Kemerdekaan’.
    Turut mengadakan upacara berkenaan kelmarin adalah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung di hadapan bangunan pentadbiran kolej universiti berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai dan kakitangan, para pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    Awang Salim semasa majlis penyerahan bendera di Tutong.
    Gambar ramai sempena upacara menaikkan bendera di Balai Raya Lumut 1. – Gambar serahan Daniel Lim
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah semasa menyerahkan bendera negara untuk dikibarkan di UTB.
    Gambar ramai sempena upacara menaikkan bendera di Dewan Kemasyarakatan, Perpindahan Lambak Kanan, Berakas. – Gambar serahan PERBEKAL
    Yang Berhormat Awang Lawi menyerahkan bendera kepada alumni PKBN di Mentiri.
    Upacara menaikkan bendera di KUPU SB yang turut dihadiri Dr Haji Adanan.
    Tetamu kehormat menyerahkan bendera untuk dinaikkan di Lumut. – Gambar serahan Daniel Lim

    Upacara menaikkan bendera telah disempurnakan oleh Kadet Tentera KUPU SB dengan iringan lagu kebangsaan.

    Majlis turut diserikan dengan upacara perbarisan lalu yang terdiri daripada pembawa bendera besar, Majlis Perwakilan Pelajar, pasukan beruniform termasuk pasukan kadet tentera, kadet polis, kadet bomba, pengakap, Pasukan Bulan Sabit Merah, Pandu Puteri dan pelajar-pelajar KUPU SB.

    Upacara serupa juga diadakan bagi Mukim Berakas A dan B Zon 2 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan, Perpindahan Lambak Kanan Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah mantan Ketua Kampung Kawasan 3 RPN Lambak Kanan, Haji Mahir bin Mohd Yusof yang menyerahkan bendera kepada tiga orang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lambak B untuk dinaikkan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), ketua-ketua kampung Mukim Berakas A dan B.

    Sementara itu, hari ini, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang tidak ketinggalan menganjurkan upacara menaikkan bendera di Balai Raya Lumut 1 di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat.

    Turut hadir ialah Pemangku Penghulu Mukim Liang dan Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Haszrin bin Bagol; Pemangku Ketua Kampung Lumut I, Awang Taib bin Haji Salleh; Pemangku Ketua Kampung Lumut II, Haji Khairdon bin Haji Dahlan; Pemangku Ketua Kampung RPN Lumut, Awang Salleh bin Haji Bujang, dan ahli-ahli MPM dan MPK serta penduduk kampung di Mukim Liang.

    Turut menyertai upacara itu ialah Pertubuhan Seni Warisan Pelangi yang mempersembahkan silat bagi memeriahkan lagi majlis.

    MPM Mentiri juga telah mengadakan upacara serupa bagi Zon 3 iaitu Mukim Mentiri, Mukim Serasa dan Mukim Kota Batu, yang berlangsung di perkara-ngan Dewan Kemasyarakatan Kampung Mentiri.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli MMN, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

    Pada acara tersebut, bendera negara dibawa oleh Kumpulan Pacuan 4 Roda yang seterusnya menyerahkannya kepada Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim dan seterusnya diserahkan kepada Yang Berhormat Awang Lawi.

    Bendera seterusnya diserahkan kepada alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) untuk upacara pengibaran yang diiringi dengan lagu kebangsaan.

    Acara diakhiri dengan pelepasan peserta konvoi yang membawa bendera negara oleh Kumpulan Pacuan 4 Roda ke mukim-mukim Zon 3.

    Sementara itu, di Daerah Tutong, MPM Pekan Tutong turut mengadakan upacara serupa di kawasan kanopi Pasarneka Tamu Serambangun Tutong, pagi tadi.

    Acara yang dianjurkan buat kali pertama tersebut telah menyaksikan bendera negara dinaikkan oleh para belia Kampung Sengkarai Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Pekan Tutong, Awang Salim bin Haji Othman.

    Dengan adanya upacara-upacara menaikkan bendera berkenaan diharap akan dapat memberi kesedaran kepada penduduk kampung agar sama-sama menaikkan bendera negara bagi memperingati dan memeriahkan hari kebesaran negara iaitu Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda