MOSCOW, 1 MAC – Upacara pengebumian mendiang ketua pembangkang Rusia, Alexei Navalny dijadualkan berlangsung di Moscow hari ini, dengan pengikut-pengikutnya mengambil risiko ditangkap untuk memberikan penghormatan terakhir.
Upacara itu diadakan dua minggu selepas Navalny meninggal dunia di penjara Artik – kematian yang dipersalahkan oleh penyokong-penyokongnya kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Putin, yang terkenal tidak pernah menyebut nama Navalny di khalayak ramai, tidak mengulas mengenai kematian itu, yang mencetuskan kemarahan pemimpin Barat dan pembangkang Rusia.
Pihak berkuasa tidak memberitahu bagaimana mereka akan mengendalikan acara tersebut, yang boleh menjadi tanda sokongan yang memalukan bagi Navalny.
Di bawah langit yang kelabu, puluhan orang ramai menunggu berhampiran gereja Mother of God Quench My Sorrows di Maryino, di mana upacara itu dijadualkan bermula pada pukul 2 petang (waktu tempatan).
“Kami tidak mempunyai lagi ahli politik seperti dia,” kata Maria, seorang pustakawan berusia 55 tahun, sambil menambah dia ‘takut dan sedih’.
“Saya tidak nampak apa-apa yang menyalahi undang-undang apabila datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lelaki yang hebat,” kata Maxim, pakar IT berusia 43 tahun.
Pagar telah dipasang di sekeliling gereja, tetapi laluan itu dibiarkan terbuka.
Selaras dengan amalan Ortodoks, mayat Navalny akan dipamerkan dalam keranda terbuka. – AFP