Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), 2023 menetapkan kadar upah minimum yang perlu dibayar oleh majikan kepada setiap pekerja terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan dalam tempoh tertentu, yang tidak boleh dikurangkan mengikut perjanjian kontrak perkhidmatan bertulis disediakan oleh majikan dan ditandatangani oleh majikan dan pekerja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di sini, pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda telah memperkenankan bagi Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), 2023 di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 untuk berkuat kuasa pada 12 Julai 2023.
Dasar upah minimum berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa di mana fasa pertama akan melibatkan dua sektor iaitu sektor perbankan dan kewangan serta sektor teknologi infokomunikasi, manakala fasa seterusnya akan dimaklumkan kemudian.
Bagi sektor perbankan dan kewangan, ia melibatkan semua pekerja tempatan dan pekerja imigran yang bekerja di semua syarikat swasta sama ada bekerja sepenuh masa atau bekerja secara sambilan yang dibayar gaji oleh entiti-entiti iaitu bank dan institusi kewangan yang berdaftar di bawah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Bank Usahawan Berhad.
Bagi sektor teknologi infokomunikasi, ia melibatkan semua pekerja tempatan dan pekerja imigran yang bekerja di semua syarikat swasta sama ada bekerja sepenuh masa atau bekerja secara sambilan yang dibayar gaji oleh syarikat-syarikat yang dianugerahkan lesen-lesen iaitu Lesen Penyedia Perkhidmatan bagi Industri Telekomunikasi (SeTi) dan Lesen Infrastruktur bagi Industri Telekomunikasi (InTi) di bawah Seksyen 5, Perintah Telekomunikasi, 2001 oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) kecuali Radio Televisyen Brunei.
Kadar upah minimum bagi kedua-dua sektor berkenaan ialah $500 sebulan bagi pekerja sepenuh masa, dan $2.62 setiap jam bagi pekerja sambilan.
Jabatan Buruh dalam kenyataan berkenaan menerangkan lanjut bahawa para majikan akan diberikan tempoh peralihan selama enam bulan dari tarikh berkuat kuasanya perintah berkenaan bagi mengambil langkah persediaan yang bersesuaian seperti membuat perubahan kontrak perkhidmatan dan sebagainya.
Dasar berkenaan bagaimanapun dikecualikan kepada pekerja di sektor kerajaan, perantis dan pekerja imigran yang memegang Visa Lawatan Profesional (PVV) atau yang diambil bekerja oleh majikan melalui Pas Kerja Kebenaran Khas (SAWP).
Kadar upah minimum yang ditetapkan adalah jumlah gaji sebelum caruman Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Persaraan Caruman Tambahan (SCP) atau Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
Jabatan Buruh menyatakan bahawa para majikan dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah yang bersesuaian dalam tempoh peralihan dengan menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis bagi penandatanganan semula oleh majikan dan pekerja sama ada pekerja imigran atau tempatan bagi terma baharu iaitu memasukkan kadar upah minimum.
Walau bagaimanapun, bagi gaji yang melebihi kadar upah minimum adalah tidak diperlukan untuk menandatangani semula perjanjian berkenaan.
Pihak majikan dikehendaki untuk menyimpan kontrak perkhidmatan yang ditandatangani dan memberikan salinan kepada pekerja yang digajinya serta mengisi maklumat di dalam borang pengesahan pelaksanaan dasar upah minimum yang disediakan serta boleh didapati di kod QR kemudian e-mel kepada led@buruh.gov.bn.
Setiap majikan diperingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan jika didapati melanggar Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), 2023 di mana di bawah Bab 148, Perintah Pekerjaan 2009 iaitu mana-mana majikan melakukan suatu kesalahan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan suatu denda tidak melebihi dari $3,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.