Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upskilling dan reskilling penuhi pemintaan pasaran kerja

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Bagi merealisasikan sistem pendidikan negara yang memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat dan mendukung Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3), Kementerian Pendidikan pada masa ini sedang giat merancang, memperkembangkan dan melaksanakan program-program pembelajaran sepanjang hayat melalui kolaborasi bersama beberapa pembekal pembelajaran sepanjang hayat dan agensi kerajaan di negara ini.

    Ini termasuk bersama Pusat bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Universiti Brunei Darussalam (UBD); Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (C4L), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Tri-CEd, Universiti Teknologi Brunei (UTB); Pusat Kecemerlangan bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (CELL), Politeknik Brunei; Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE CET), SEAMEO VOCTECH, Pusat Pembangunan Belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan BICPA-FTMS Acountancy Academy Sdn Bhd.

    Pusat L3 juga berperanan sebagai pusat maklumat setempat bagi program-program pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam. Pemangku Pengarah Pusat L3, Kementerian Pendidikan, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid menjelaskan mengenai peranan Pusat L3 dalam mendukung Wawasan Brunei 2035 pada sidang media yang berlangsung di Bilik Latihan 1, Pusat L3, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pengarah (Akademik) Pusat L3, Walter Chong Meng Siong dan Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Pusat L3, Awang Sumardi bin Haji Abdul Hamid.

    Pada sidang media itu, Dr Sheikh Lukman menjelaskan bahawa terdapat empat tunggak atau jenis pembelajaran sepanjang hayat di bawah Pusat L3 iaitu Perkembangan Tenaga Kerja, Peningkatan Akademik, Perkembangan Komuniti dan Perkembangan Peribadi.

    Pada masa ini, fokus utama Pusat L3 ialah program-program upskilling (iaitu meningkatkan kemahiran yang ada) dan reskilling (iaitu mempelajari kemahiran baharu yang lain) di bawah Perkembangan Tenaga Kerja yang telah dirancang dan dikendalikan melalui kerjasama dengan Sekretariat Tetap Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC), Jabatan Perdana Menteri dan JobCentre Brunei (JCB) bagi memenuhi permintaan pasaran kerja.

    Setakat ini, Pusat L3 telah menawarkan 135 program upskilling dan reskiling kepada orang ramai terutama sekali pelajar-pelajar dewasa, pencari kerja serta pekerja di sektor kerajaan dan swasta dan sebagainya.

    Beliau turut memberitahu bahawa MPEC telah memperkenalkan satu inisiatif yang dikenali sebagai SkillsPlus di bawah Learn and Grow Programme yang disokong oleh Pusat L3 iaitu bantuan pembiayaan bagi program-program upskilling dan reskilling di bawah pusat berkenaan bagi pencari kerja tempatan.

    Dr Sheikh Lukman menjelaskan mengenai peranan Pusat L3 dalam mendukung Wawasan Brunei 2035 pada sidang media kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda