Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Usaha gigih petani Brazil teruskan kelangsungan hidup

    GILBUES – Berdiri di tengah-tengah landskap kawah merah yang kelihatan seperti di Marikh, petani Brazil, Ubiratan Lemos Abade mengangkat kedua-dua tangannya, menunjukkan dua kemungkinan masa depan bagi tanah ini yang dengan cepat bertukar menjadi padang pasir.

    Abade, seorang penternak lembu berusia 65 tahun, tinggal di kawasan hotspot penggurunan terburuk di Brazil: Gilbues, di negeri timur laut Piaui, di mana landskap ngarai yang kering menelan ladang dan kediaman, merangkumi kawasan yang lebih besar daripada Bandar New York.

    Pakar berkata fenomena itu disebabkan oleh hakisan yang meluas pada tanah semula jadi yang rapuh di kawasan itu, yang diburukkan lagi oleh penebangan hutan, pembangunan melulu dan mungkin juga oleh perubahan iklim.

    Namun, beberapa ratus keluarga petani gigih bertahan di tanah yang tandus ini, dengan keupayaan yang terhad bagi memberikan amaran tentang masalah yang semakin merebak.

    “Keadaan menjadi kacau bilau. Hujan tidak turun seperti dahulu. Jadi kami menggunakan pengairan. Tanpa itu, kami tidak akan mampu bertahan,” kata Abade.

    Aquilino Carvalho Neto mencuci tangannya di dalam kolam di Gilbues, timur laut Piaui, Brazil, pada 1 Oktober lalu. – AFP
    Gambar AFP
    Abade bekerja di tanahnya di Gilbues, timur laut Piaui, Brazil, baru-baru ini. – AFP
    Pemandangan ‘Gurun Gilbues’ pada 30 September lalu di Gilbues, timur laut Piaui, Brazil. – AFP

    Di sebelah kanannya, dia menunjukkan ke ladang tandus dengan rumput kering yang mati sebelum lembunya dapat memakannya. Di sebelah kirinya, dia menunjukkan ke arah tompokan rumput bluestem yang tinggi yang disiram dengan sistem pengairan buatan sendiri, yang diharapkannya dapat memastikan 15 ekor lembunya dan dirinya sendiri hidup.

    Dia memasang sistem itu setahun yang lalu, menggali perigi dan memasang rangkaian hos.

    “Tanpa pengairan, seluruh tempat ini akan kelihatan seperti itu mati kehausan,” katanya.

    “Teknologi diperlukan untuk bertani di sini. Tetapi apabila awda miskin, teknologi sukar diperoleh.”

    TANAH RAPUH

    Dilihat dari udara, ‘gurun Gilbues’ kelihatan seperti sehelai kertas pasir gergasi berwarna merah bata yang renyuk.

    Masalah hakisannya bukan perkara baharu. Nama ‘Gilbues’ mungkin berasal daripada perkataan pribumi yang bermaksud ‘tanah rapuh’, kata ahli sejarah alam sekitar, Dalton Macambira, dari Universiti Persekutuan Piaui.

    Tetapi manusia telah memburukkannya dengan memusnahkan dan membakar tumbuh-tumbuhan yang akarnya membantu menguatkan tanah yang berkelodak dan dengan mengeksploitasi alam sekitar secara berlebihan ketika Gilbues telah berkembang menjadi sebuah bandar yang mempunyai 11,000 penduduk, katanya.

    Gilbues merupakan tempat berlakunya perlombongan berlian besar-besaran pada pertengahan abad ke-20, kemudian melonjak dengan penanaman tebu pada tahun 1980an dan kini merupakan salah satu pengeluar kacang soya terbesar di negeri itu.

    “Di mana ada manusia, terdapat permintaan terhadap sumber asli,” kata Macambira.

    “Ia mempercepatkan masalah itu, dengan menuntut lebih banyak dari alam sekitar daripada yang dapat ditampungnya.”

    Macambira menerbitkan satu kajian pada Januari yang mendapati kawasan yang terjejas akibat penggurunan meningkat lebih daripada dua kali ganda daripada 387 kilometer persegi pada 1976 kepada 805 kilometer persegi pada 2019, merangkumi 15 daerah dan kira-kira 500 keluarga petani.

    Para saintis iklim berkata kajian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada pemanasan global mempercepatkan fenomena itu.

    Petani berkata musim kemarau semakin kering, diselangi dengan musim hujan yang lebih singkat dan lebih lebat yang memburukkan lagi masalah itu kerana hujan lebat menghanyutkan lebih banyak tanah, memperdalam jurang ternganga yang dikenali sebagai ‘vocoroca’.

    Macambira berkata planet yang lebih panas hanya akan memburukkan lagi keadaan.
    “Di mana sahaja terdapat kemerosotan alam sekitar, perubahan iklim cenderung mempunyai kesan yang lebih merosakkan,” katanya.

    PELUANG DALAM MASALAH

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggelar penggurunan sebagai ‘krisis senyap’ yang memberi kesan buruk terhadap 500 juta orang di seluruh dunia, mendorong kemiskinan dan konflik.

    Tetapi terdapat peluang dalam masalah itu, kata Fabriciano Corado, presiden kumpulan pemuliharaan SOS Gilbues.

    Jurutera pertanian berusia 58 tahun itu berkata walaupun tanah Gilbues mudah terhakis, ia juga merupakan impian petani: kaya dengan fosforus dan tanah liat, tanah ini tidak memerlukan baja atau rawatan lain.

    Seperti Abade, dia berkata petani memerlukan teknologi untuk bertahan di padang pasir yang semakin merebak tetapi bukan teknologi yang terlalu canggih.

    Pengeluar tempatan mendapat hasil yang sangat positif dengan perkara seperti melindungi tumbuh-tumbuhan asli, pengairan titisan, penternakan ikan dan teknik anti-hakisan purba pertanian bertingkat, katanya.

    “Kami tidak perlu mencipta semula teknologi itu. Orang Aztec, Inca dan Maya sudah melakukannya,” katanya.

    Dia mengutuk penutupan pusat penyelidikan anti-penggurunan yang dikendalikan oleh kerajaan di Gilbues enam tahun yang lalu yang membantu petani tempatan melaksanakan teknik sedemikian.

    Kerajaan negeri merancang untuk membukanya semula tetapi belum menetapkan tarikhnya.

    Sementara itu, kawasan tersebut mempunyai potensi besar sebagai pengeluar tenaga solar, kata Corado, merujuk kepada pembukaan taman solar dengan 2.2 juta panel baru-baru ini. Satu lagi masih dalam perancangan.

    Dengan gabungan yang betul antara pemuliharaan dan teknologi, ‘tidak ada yang dapat menghalang kita’, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...