Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Usaha harus ditingkatkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kadar kemalangan jalan raya menunjukkan trend yang menurun daripada 3,515 kes pada tahun 2017 kepada 3,104 kes pada tahun 2021.

    Tetapi, kadar kes kematian dari bulan Januari hingga Oktober 2022 adalah seramai 18 orang berbanding 16 orang sahaja pada tahun lepas, sesuatu yang amat mendukacitakan. Oleh itu, usaha-usaha perlu dipertingkatkan lagi.

    Perkara itu ditekankan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa bersabda pada Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Tahun 2022 petang tadi di Royal Berkshire Hall, Jerudong Polo and Country Club, Jerudong.

    “Saya telah difahamkan, statistik menunjukkan jumlah kenderaan aktif di jalan raya setiap tahun meningkat sekitar 14,000 buah. Jumlah pemandu juga semakin bertambah. Seramai 5,576 orang memperoleh lesen baharu dan 140,316 lagi memperbaharui lesen mereka pada tahun lepas.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan mencuba alat simulasi yang dipamerkan semasa majlis tersebut.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan mengurniakan sabda khas.

    “Ini bererti, satu pertiga daripada jumlah penduduk di negara ini merupakan pemandu kenderaan bermotor.

    “Dalam hal ini, setiap pengguna jalan raya, sama ada yang memandu kereta, menunggang motosikal atau basikal dan pejalan kaki, mempunyai pengaruh langsung terhadap keselamatan jalan raya.

    “Oleh itu, kerjasama padu diperlukan untuk menjamin keselamatan di jalan raya.

    Pada masa yang sama, Yang Teramat Mulia juga mengongsikan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berusaha sedaya upaya menjadikan jalan-jalan raya di negara ini selamat untuk digunakan.

    Sabda Yang Teramat Mulia lagi, selain daripada pengguna jalan raya itu sendiri, MKKJR juga memainkan peranan penting di mana salah satu usahanya adalah pelancaran Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025 pada 2020.

    Pelbagai program telah dilaksanakan, namun masih juga berlaku kehilangan nyawa. Oleh yang demikian, MKKJR perlu untuk memastikan pelan strategik tersebut masih relevan dan menepati keadaan semasa, sabda Yang Teramat Mulia.

    “Dalam masa yang sama, adalah amat penting untuk kita menanamkan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya di peringkat awal, terutamanya kepada kanak-kanak semenjak di sekolah rendah lagi.

    “Untuk tujuan tersebut, MKKJR dengan kerjasama pihak Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya untuk murid-murid sekolah.

    “Inisiatif-inisiatif seperti ini perlu disokong dan diteruskan dan ia diharapkan dapat membuahkan hasil yang baik,” sabda Yang Teramat Mulia.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...