Oleh Nurdiyanah R. –
Demi sebuah harapan agar hubungan kekeluargaan kekal utuh setelah mengenali asal usul keturunan dan salasilah keluarga besar, maka terhasillah sebuah buku berjudul Susur Galur Pengarah Awang Abdul Rahman (PAAR) bin Pehin Udana Khatib Awang Muhit.
Sehubungan itu, bagi memohon keberkatan dalam penghasilan buku yang telah ditulis oleh salah seorang keturunan keluarga besar berkenaan, Haji Janaidi bin Haji Gunong, maka lebih 300 orang ahli keluarga PAAR dari Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara telah memanfaatkan hujung minggu mereka berhimpun pada Majlis Silaturahim dan Kesyukuran di Dewan Serbaguna, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kampus Kampung Sinaut, pada awal Oktober lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, yang juga merupakan salah seorang purih keturunan keluarga PAAR.
Majlis diteruskan lagi dengan penyerahan buku tersebut kepada wakil PAAR dari Daerah Tutong, Haji Latif bin Bungsu dan wakil PAAR dari Daerah Brunei dan Muara, Mejar (B) Haji Abdul Kani bin Haji Mohd Said.
PERTEMUAN MENJADI KENYATAAN
Dalam ucapan alu-aluannya, Kolonel (B) Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid selaku pengerusi majlis berkenaan antaranya mengungkapkan kesyukuran dengan pertemuan bersejarah dan penuh bermakna itu yang menjadi kenyataan setelah mereka sebagai purih, keturunan PAAR terpisah selama lebih kurang empat ke lima generasi.
Jelasnya, pertemuan awal keturunan PAAR bermula sejak 2018, hasil usaha gigih Pengiran Haji Abdullah bin Pengiran Haji Jaludin yang secara tidak langsung telah membuka jalan kepada penulisan buku itu. Pada masa yang sama, terdapat juga tulisan berbentuk digital yang pernah dihasilkan oleh salah seorang dangsanak dengan isi kandungan dan tajuk yang berbeza.
Ketika mengimbas kembali detik pertemuan pertama, Kolonel (B) Haji Abidin menambah dirinya bersama dua orang ahli keluarga yang lain telah mengadakan perjumpaan bersama Pengiran Haji Abdullah sekitar awal tahun 2020. Maka daripada pertemuan itu, bermulalah pertemuan susulan yang menemukan sebahagian daripada keturunan PAAR dari kedua-dua daerah.
Beliau turut mengakui bahawa Pengiran Haji Abdullah patut dianggap sebagai pelopor pertemuan. Namun, beliau juga menyatakan hasrat alangkah baiknya jika semua ahli keluarga tidak memanggil diri masing-masing sebagai keturunan PAAR Daerah Brunei dan Muara atau PAAR Daerah Tutong kerana kesemuanya adalah waris keturunan PAAR yang sama.
DETIK TERHASILNYA SUMBER RISTAAN
Sementara itu, Haji Janaidi selaku penulis dan penerbit buku berkenaan, antaranya mengungkapkan jiwa kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan berkat semangat ingin merapatkan hubungan kekeluargaan dan rasa mahabbah yang tinggi, maka terhasilnya sebuah buku di mana proses pengumpulan maklumat dan butiran ahli keturunan yang terdapat dalam huraian rajah pepohon keluarga dalam buku itu telah mula diusahakan secara giat sejak tahun 2015 dan pernah terhenti pada tahun 2017 dan kemudian usaha sedemikian diteruskan lagi pada tahun 2023 sehingga siap proses pencetakan.
Menurut beliau, proses pengumpulan maklumat dan butiran ahli keturunan dalam buku itu sememangnya diperoleh daripada himpunan sumber-sumber keluarga dangsanak yang sekali gus sebagai ahli narasumber buku yang antaranya terdiri daripada Haji Ahmadbi bin Haji Othman, Pengiran Haji Abdullah dan Haji Sabri bin Haji Othman.
Begitu juga hasil penemuan cerita-cerita mulut daripada Haji Bolhasan bin Haji Bagol, Haji Johari bin Haji Ibrahim, Haji Abdul Latif bin Bungsu, Mejar (B) Haji Abdul Kani bin Mohd Said, Haji Suaib bin Haji Mohd Taib, Kolonel (B) Haji Abidin, Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, Awang Jamudin bin Haji Abdul Hamid, Pengiran Jalil bin Pengiran Haji Jaludin, Dayang Siti Afsah binti Haji Abdul Kadir dan Hajah Zaiton binti Haji Mohsin.
Antara yang turut menyumbang kepada penghasilan buku itu ialah Haji Hamzah bin Haji Hassan, Haji Kawi bin Haji Abdul Kadir, Haji Adinin bin Haji Mayalin, Haji Mohd Yakup bin Othman dan Haji Asbinin bin Haji Mayalin.
Selain itu, jelas Haji Janaidi, sumber-sumber dari buku terbitan Pusat Sejarah Brunei (PSB) seperti buku Asal Usul Puak Tutong dan keterangan yang terdapat dalam buku Dato Godam juga banyak membantu dalam menjejaki ahli-ahli keturunan PAAR. Aplikasi geni.com yang menyediakan dataran pepohon keluarga juga digunakan sebagai bahan perbandingan untuk mengenal pasti susur galur dan cabang rangkaian generasi keturunan Dato Godam.
Menyentuh secara ringkas, PAAR merupakan generasi keenam kepada Dato Godam. PAAR adalah anak kepada Pehin Udana Khatib Awang Muhit bin Pehin Siraja Khatib Awang Hassanuddin bin Pehin Orang Kaya Perdana Wangsa Awang Radin bin Manteri Abdul Harith bin Manteri Puteh bin Dato Godam. Bondanya, Dayang Sarbanun binti Muhammad Yusof bin Pehin Orang Kaya Digadong Awang Badaruddin bin Manteri Harith bin Manteri Puteh bin Dato Godam.
Menurut catatan nota kaki di muka surat 186 buku Dato Godam terbitan PSB, Keluarga PAAR adalah penduduk terawal yang mendiami Kampung Tanah Burok setelah berpindah dari Kuala Parit, Sungai Kelakas, Daerah Tutong. PAAR berasal dari Kampung Sungai Kedayan, Daerah Brunei dan Muara berkahwin dengan Dayang Siti berasal daripada Puak Tutong di Kampung Kuala Birau, Tutong seperti kepercayaan ahli waris generasi ketiga sebelum ini.
Setelah menjejak ahli-ahli keluarga di persekitaran Kampung Kuala Birau bagi mengetahui saudara sekandungan Dayang Siti, tidak ada sebarang maklumat atau penjelasan yang meyakinkan diperoleh, malahan ada juga cerita dan dikhabarkan bahawa Dayang Siti adalah anak buah kepada Dayang Fasah (isteri PAAR) yang juga berasal dari Kampung Sungai Kedayan.
PAAR disemadikan di Tanah Perkuburan Sugan Tutong (bil daftar 1632) sementara Dayang Siti berkemungkinan disemadikan di Tanah Perkuburan Telinting Tutong. Walau bagaimanapun usaha-usaha akan terus dilakukan untuk mencari kesahihan tempat persemadian moyang Siti.
Kandungan buku itu, jelasnya hanya tertumpu sepenuhnya kepada ahli-ahli keturunan generasi PAAR bermula dari generasi pertama sehingga keempat, selain itu kesahihan susunannya melalui pengamatan dan perbandingan-perbandingan yang terdapat dalam catatan buku keturunan daripada Pengiran Hajl Abdullah dan Haji Asbinin; dan juga buku salasilah milik Haji Hamzah dan Haji Mohd Yakup. Salasilah digital juga ada dihasilkan oleh Awang Abidin bin Haji Othman.
“Ada di antara mereka ini pernah bermuzakarah semuka mengupas dan menghuraikan susur galur keturunan yang terdapat dalam buku Dato Godam bersama Allahyarham Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, selaku Pengetua PSB pada waktu itu,” kongsi Haji Janaidi.
Tanggal 10 Mei 2023 merupakan pertemuan pertama antara keturunan PAAR Daerah Tutong dan PAAR Daerah Brunei dan Muara yang diadakan di Restoran Borneo Kopitiam Sungai Hanching di mana seramai 26 orang daripada dua keturunan disatukan dalam pertemuan tersebut atas inisiatif Pengiran Haji Abdullah dan Kolonel (B) Haji Abidin.
Berikutan majlis pertemuan pertama itu, tambah Haji Janaidi, ia telah membawa kepada penganjuran beberapa majlis kekeluargaan seperti sambutan hari raya, majlis ramah mesra keluarga dan sebagainya sehingga berlangsungnya majlis silaturahim dan kesyukuran baru-baru ini.
“Ini menggambarkan ikatan kemesraan keturunan moyang PAAR tidak dinafikan masih kuat walaupun cukup lama terpisah. Atas dorongan itulah maka buku ini diterbitkan,” ujarnya.
Beliau turut mengongsikan pada 27 Mac lalu, pertemuan di salah sebuah kediaman purih keluarga PAAR sebagai usaha memantapkan kesahihan kandungan buku itu telah diadakan, disusuli dengan sesi semakan terakhir bersama beberapa orang ahli keturunan PAAR Daerah Brunei dan Muara dan PAAR Daerah Tutong yang telah diadakan pada 10 Mei dan 18 Mei lalu.
JIWAI MAKNA SILATURAHIM
Dalam kesempatan itu, Haji Janaidi menaruh harapan agar buku itu dapat ditambah baik khususnya dalam mencari dan melengkapkan maklumat dangsanak dalam tingkat generasi PAAR pertama dan seterusnya.
Beliau percaya generasi kelima dan seterusnya dapat melanjutkan himpunan dalam melengkapkan rajah pepohon keluarga utama PAAR Daerah Tutong dan PAAR Daerah Brunei Muara berpandukan kepada buku ini agar usaha-usaha lebih progresif dan produktif akan terlaksana dan tercapai.
“Bersilaturahim bukan sekadar berkenal-kenalan, berjabat tangan atau memohon maaf dengan bersalam-salaman. Ada sesuatu yang lebih hakiki dari semua itu, iaitu aspek mental dan ketulusan hati.
“Kata wasal dan silaturahim itu sendiri, iaitu ‘silah’ atau ‘wasal’ yang membawa maksud menyambungkan atau menghimpun dan ‘rahim’ yang bererti kasih sayang. Menghimpun pula biasanya mengandungi makna sesuatu yang tercerai-berai dan berselerakan menjadi sesuatu yang bersatu dan teguh kembali,” ujarnya di akhir pertemuan bersama Media Permata.