Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Usaha lestarikan warisan kesenian bermukun

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Daniel Lim

    Bersatunya alunan irama bersama bait-bait pantun bersulam nasihat, kasih sayang, lawak jenaka mahu pun usik-mengusik, begitulah indahnya bermukun yang merupakan salah satu tradisi warisan hiburan bangsa Melayu, yang sememangnya tak lapuk ditelan zaman.

    “Sebagai hiburan kecil-kecilan yang dinyanyikan melalui pantun secara spontan diiringi dengan alat muzik tradisional seperti rebana, gendang, akordian, biola dan gong.

    “Wujudnya kesenian bermukun di Negara Brunei Darussalam ini mempunyai jalan ceritanya di mana bermukun merupakan budaya Melayu orang-orang Sarawak sejak tahun 40an hingga sekarang dan telah menjadi tradisi mereka apabila berlangsungnya majlis-majlis keramaian.

    “Maka sebahagian mereka ada yang telah berpindah ke Brunei dan secara tidak langsung menjadikan kesenian ini berkembang di negara ini lebih-lebih lagi melalui hubungan silaturahim dan kekeluargaan,” itulah antara perkongsian mengenai kesenian mukun yang disampaikan oleh Presiden Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera Brunei, Awang Irwan Rino bin Nordin kepada Media Permata.

    Kesenian di Kepulauan Borneo

    Menyentuh lanjut mengenai asal-usul bermukun, Awang Irwan menjelaskan keunikan budaya hiburan berkenaan hanya terdapat di Kepulauan Borneo dan tidak pula didapati di negara-negara ASEAN yang lain.

    Antara elemen utama untuk bermukun ialah pemukun yang dipanggil ‘Penandak’ bagi kaum lelaki dan ‘Mak Gendang’ atau ‘Syeh Gendang’ pula bagi kaum wanita.
    Awang Irwan semasa berkongsi mengenai kesenian mukun.
    Antara koleksi trofi kejayaan yang diperoleh oleh Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera Brunei.

    Antara kawasan yang memiliki kesenian bermukun ini ialah Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.

    “Di persada tanah air kita mengikut sejarah, majoriti masyarakat yang menghidupkan suasana bermukun pada suatu ketika dahulu ialah masyarakat Melayu Brunei khususnya yang menetap di Kampong Ayer dan juga masyarakat Melayu Kedayan yang mana istilah bermukun di Brunei disebut juga sebagai ‘begandang’.

    “Kini mukun masih memiliki peminatnya dan turut dimainkan di majlis-majlis perkahwinan, pindah rumah, sambutan ulang tahun, acara pentas, karnival dan sebagainya,” jelasnya.

    Adat budaya bermukun

    Selain itu, Awang Irwan turut berkongsi antara elemen utama untuk bermukun ialah pemukun yang dipanggil ‘Penandak’ bagi kaum lelaki dan ‘Mak Gendang’ atau ‘Syeh Gendang’ pula bagi kaum wanita.

    “Cara adat budaya bermukun ini ialah Mak Gendang akan menjual pantun kepada Penandak, kemudian pantun Mak Gendang akan dijawab oleh Penandak sambil Mak Gendang memukul rebana atau gendang atau dombak dengan diserikan gemersik gesekan biola dan juga instrumen muzik yang lain mengikut irama mukun,” ujarnya.

    Beliau juga menambah kebiasaannya dalam persembahan mukun sekurang-kurangnya diperlukan dua Penandak di atas pentas yang bertujuan untuk menguji kemampuan mereka melalui curahan pantun yang menggambarkan diri mereka secara positif sambil mengusik satu sama lain.

    Secara tradisinya, Mak Gendang akan duduk di tempat duduk khas di tengah-tengah pentas dengan ditutup kain secara melintang atau di belakang tirai kain sebagai satu sempadan kepada Penandak.

    Penandak masing-masing bergilir-gilir untuk menarik perhatiannya dengan pantun mereka.

    Jelas Awang Irwan lagi, istilah Penandak dalam Bahasa Melayu Brunei ialah Tukang Tari atau Tekong Joget. Selain itu, pengertian Penandak juga dipanggil sebagai penopeng atau penari atau pejoget.

    Jangan biarkan warisan pupus

    Ke arah usaha berterusan untuk memartabatkan kesenian warisan bermukun ini, Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera Brunei terus mengorak langkah secara proaktif dan progresif bukan hanya dari segi perlaksanaan acara mukun di negara ini bahkan juga sehingga membawa nama negara.

    Daripada Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sehinggalah ke pertandingan-pertan-dingan tahunan, di samping pernah memenangi pertandingan mukun peringkat antarabangsa.

    Antara objektif penubuhan kelab berkenaan, Awang Irwan menyatakan dengan perlaksanaan bengkel bagi golongan belia sememangnya ia merupakan projek jangka panjang kelab berkenaan agar kesenian mukun termasuklah kemahiran berpantun secara spontan yang sudah diwarisi ini tidak pupus ditelan zaman.

    “Kelab ini juga sedang giat mencipta dan mengambil bahagian dalam peluang untuk membantu meneruskan semangat dan tradisi mukun.

    “Sememangnya usaha dan inisiatif berterusan yang diwujudkan bersama agensi-agensi berkaitan bukan sahaja untuk meluaskan skop mukun semata-mata bahkan ia begitu dihasrat untuk mencetus inspirasi golongan belia atau generasi muda untuk berlatih dan mengikut jejak langkah komuniti pemukun veteran sehingga mampu meneruskan legasi, tradisi dan budaya mukun ini,” ucapnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...