Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha UNISSA diiktiraf IBFIM

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Bagi mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pengembangan bidang kewangan Islam di peringkat antarabangsa, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) buat julung kalinya telah menyampaikan Anugerah Kerjasama Industri Cemerlang IBFIM (IOIC) kepada UNISSA semasa Majlis Pengurniaan Sijil ke-4 IBFIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Anugerah IOIC telah disempurnakan oleh penerima Anugerah Diraja dalam Kewangan Islam 2022, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kepada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang hadir bagi menerima anugerah itu.

    Dr Abdul Nasir menjelaskan, penganugerahan IOIC menjadi sebahagian daripada peristiwa penting dalam penubuhan UNISSA dan setentunya menjadi salah satu pencapaian membanggakan FEKIm dalam arena pendidikan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

    Menurutnya lagi, pencapaian ini akan dijadikan sebagai pendorong yang kuat kepada FEKIm melipatgandakan usaha dan menggembleng tenaga untuk melahirkan lebih ramai sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dalam bidang kewangan Islam.

    Selain itu, ia boleh dipasarkan (marketable) dan seterusnya menyumbang kepada institusi kewangan Islam (IKI).

    Dr Haji Norarfan dan Dr Abdul Nasir menerima anugerah yang disampaikan oleh Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. – Gambar serahan UNISSA

    Dalam hal ini, beberapa perancangan pelan strategik telah pun disusun oleh fakulti untuk merealisasikan cita-cita tersebut selain mendukung aspirasi negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah hab kewangan Islam antarabangsa.

    IOIC merupakan anugerah tahunan yang diberikan oleh IBFIM sejak 2018 kepada institusi tempatan dan antarabangsa yang bekerjasama dengan cemerlang dalam membangun bakat dan kemahiran profesional bidang kewangan Islam.

    UNISSA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) antarabangsa pertama yang menerima anugerah tersebut, menurut sumber dari IBFIM.

    Kesungguhan FEKIm untuk memperkasa bidang pengajian kewangan Islam di UNISSA menerusi usaha kerjasama dengan IBFIM dapat diungkapkan menerusi komitmennya apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak IBFIM pada 13 Disember 2017.

    Ia diikuti dengan penandatanganan Surat Akujanji (LoU) pada 21 Oktober 2020 dari Meja ke Meja, dan penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) pada 18 Ogos 2021 secara maya.

    Sehingga ke hari ini seramai 34 orang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam (BScIF) telah menerima pensijilan Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) dalam Majlis Hafl Al-Takharruj (HT) UNISSA dan tujuh orang tenaga akademik UNISSA telah menerima pensijilan AQIF menerusi Recognition of Prior Learning (RPL), Credit Transfer and Class Enrolment Exemption of AQIF.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda