LABUAN, 24 NOV – Rata-rata usahawan yang menyertai Program Labuan Connect! amat teruja apabila menjadi pempamer pertama yang terlibat dalam acara itu yang julung kali diadakan di Labuan semalam.
Berkongsi kepada Bernama, Shirley Dorina Anak Anthony, 46, berkata beliau amat teruja berikutan program itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan malah dapat mengenali Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara lebih dekat.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu yang menghasilkan kek lapis, kek brownies dan tart telur berkata sebelum ini beliau telah banyak menyertai program jualan yang diadakan oleh agensi lain antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Shirley Dorina berkata sebagai suri rumah sepenuh masa, berniaga kek secara sambilan melalui program jualan mahupun dalam talian sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan keluarga.
“Saya merasa sangat bertuah kerana pertama kali program ini diadakan di sini dan saya jadi peserta dan paling teruja apabila mendapat tahu Bernama yang mengendalikan program ini.
“Melalui program ini juga telah memperkenalkan kepada saya bahawa Bernama adalah satu nama media yang besar dan memang saya tidak jangka dapat bekerjasama dengan Bernama buat pertama kalinya,” katanya yang berasal dari Sarawak.
Mengusahakan pastri sejak lapan tahun lepas, Shirley Dorina berkata beliau mendapat tahu mengenai program itu melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Lubuk Tamiang.
Beliau berharap Program Labuan Connect! akan diteruskan pada masa akan datang dan diadakan di kawasan yang lebih besar agar lebih ramai usahawan dapat menyertainya.
Alinawati Kalik, 40, yang mengusahakan colek buah-buahan turut teruja menyertai program ini sekali gus dapat mengenali kakitangan dan fungsi Bernama yang sebelum ini hanya diketahui melalui nama sahaja.
Berasal dari Kampung Layang-Layangan, katanya program itu amat memberi manfaat kepada setiap usahawan kecil-kecilan untuk mempromosikan hasil produk masing-masing kepada pelanggan. – Bernama