Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan ITPSS Sdn Bhd terus melakar peristiwa penting dalam hubungan kerja demi kepentingan bersama dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Galeri UTB, Bangunan The Pearl, hari ini.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS Sdn Bhd, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis.
Terdahulu, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam ucapannya berkata, beliau menyedari bahawa ITPSS sentiasa menyokong UTB seperti menerusi program Experience Plus dengan menerima pelajar UTB sebagai pelatih.
“Selain kerjasama Keselamatan Siber Brunei (CSB) yang berterusan dalam menganugerahkan pelajar UTB untuk penghasilan video kesedaran keselamatan siber mereka,” tambahnya.
Bagi pihak UTB, beliau turut mengucapkan tahniah kepada ITPSS kerana mendapatkan akreditasi ISO/IEC 17025:2017 (AR3125:2019) standard untuk Makmal Forensik Digital Kebangsaan yang dianugerahkan pada Ogos 2022 dan pensijilan ISO/IEC 27001:2013 untuk CSB pada Februari 2023.
“Keselamatan siber adalah punca kebimbangan di dunia hari ini dan dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian, kita semua terdedah kepada serangan siber,” ujarnya.
Menurutnya lagi, perkongsian strategik berkenaan akan membawa banyak lagi peluang serta mengukuhkan komitmen kepada keperluan bangsa untuk menjaga terhadap kejadian dan ancaman siber dalam negara.
“Hubungan kerja kami akan menggalakkan kerjasama erat antara kakitangan daripada kedua-dua buah organisasi, terutamanya dari segi kerjasama penyelidikan bersama dan juga inisiatif pembelajaran sepanjang hayat,” jelasnya lagi.
Di bawah MoU yang dimeterai itu, skop kerjasama termasuk pertukaran pelajar, pertukaran akademik, penyelidikan kolaboratif, persidangan dan seminar bersama, serta kerjasama lain dalam bidang berkaitan.
