Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Universiti Teknologi Brunei (UTB) menerusi Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Agrimakanan (CrAFT) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Siberian Federal Scientific Center of Agrobiotechnology of the Russian Academy of Sciences (SFSCA-RAS) mengenai potensi kerjasama penyelidikan.
Hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Chargé D’affaires di Kedutaan Persekutuan Rusia di Brunei Darussalam, Timur Munchaev.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, penandatanganan MoU berkenaan dijalankan secara maya menerusi persidangan video di mana menandatangani bagi UTB ialah Pengarah CrAFT, Dr Beston Nore manakala itu SFSCA-RAS diwakili oleh pengarahnya, Profesor Dr Kirill S. Golokhvast.
Dr Beston Nore semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan bahawa CrAFT sebagai pusat berasaskan penyelidikan untuk sains dan teknologi agrimakanan, yang bertindak sebagai platform rangkaian untuk memudahkan sektor agrimakanan di negara ini, berpotensi menyumbang dalam mengembangkan agro-biz yang bermanfaat kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam.
“Rangkaian ini menawarkan dimensi peluang tambahan untuk semua pihak yang saling berkaitan, termasuk bersama para pakar profesional akademik di SFSCA-RAS, untuk mengenal pasti projek dan mengembangkan penyelesaian yang lebih efisien untuk
sektor agrimakanan dan bagi meningkatkan keterlibatan penyelidikan dengan pelajar UTB dan para penyelidik,” tambahnya.
Kenyataan menjelaskan, di bawah MoU itu, kedua-dua institusi akan memberi tumpuan kepada bidang perkongsian, kerjasama saintifik, pertukaran dan perkongsian data.
Bidang penyelidikan khusus telah dikenal pasti untuk menangani masalah dan cabaran perubahan iklim iaitu kesan perubahan iklim global terhadap pertanian dan alam sekitar.
Bidang khusus yang dicadangkan merangkumi penerapan kecerdasan buatan untuk mengurangkan kesan pertanian global terhadap perubahan iklim, pertanian pintar-iklim untuk menangani masalah keselamatan makanan dan pengurusan sumber yang lestari.
