Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    UTB tawar peluang tingkat kemahiran dan pengetahuan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Di saat pasaran pekerjaan menjadi semakin kompetitif, semestinya kita turut menyaksikan permintaan yang semakin meningkat terutamanya untuk pengkhususan kemahiran baharu yang dihasilkan oleh kemunculan teknologi baharu.

    Sehubungan itu, Universiti Teknologi Brunei (UTB) kini menawarkan peluang kepada bakal pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka melalui program UTB Postgraduate Micro-Credentials iaitu kursus selama 14 minggu yang disediakan bagi golongan profesional yang bekerja dan tidak terkecuali lepasan graduan.

    Menurut Pengarah Tri-CEd, Centre for Continuing Education, UTB, Dr Roslynna Rosli, menerusi program berkenaan akan memberi kemudahan bakal pelajar yang begitu flexible untuk memilih modul berkaitan dengan pembangunan profesional mereka tanpa mengikuti program ijazah berstruktur.

    Para pelajar program berkenaan akan mempelajari satu atau dua modul setiap semester dari bidang subjek seperti Engineering and Technology Management sehingga Computing and Security.

    Dengan mengumpul nilai kredit (CV) untuk setiap modul, para pelajar boleh berusaha ke arah mendapatkan Postgraduate Certificate (60 CV) atau Postgraduate Diploma (120 CV) selama enam tahun.

    UTB kini menawarkan peluang kepada bakal pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka melalui program UTB Postgraduate Micro-Credentials.

    Selain itu, pelajar juga boleh memperoleh ijazah sarjana (180 CV), yang termasuk projek penyelidikan, selama lapan tahun.

    Adakah UTB Micro-Credentials pilihan tepat?

    Menerusi program UTB Postgraduate Micro-Credentials, awda tidak semestinya perlu memiliki ijazah sarjana muda untuk layak mengikuti program berkenaan. Diploma Tahap 5 Brunei Darussalam Qualifications Framework (BDQF) dengan pengalaman kerja tiga tahun, atau pengalaman kerja yang luas atau kelayakan lain juga boleh dipertimbangkan oleh UTB.

    Dalam pada itu, pemohon yang berpotensi digalakkan berbincang dengan majikan dan badan profesional mereka tentang kecekapan dan kemahiran yang diperlukan dalam industri masing-masing.

    Perlu diketahui bahawa program berkenaan diiktiraf oleh Majlis Akreditasi Kebangsan Brunei Darussalam (BDNAC) dan ditauliahkan sebagai Tahap 7 pada BDQF.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Perkapalan Belait dan juga ahli Majlis UTB dari bidang industri, Haji Awang bin Haji Ali mengongsikan dengan memiliki kelayakan yang tepat akan membuka pintu kepada peluang-peluang tertentu.

    “Bagi majikan, melihat bahawa pekerja mereka berdedikasi untuk belajar dan mengembangkan pengetahuan mereka dalam peranan semasa mereka, atau bagi mencari jalan memperbaiki kedudukan mereka maka, ia pastinya memberi keyakinan kepada majikan terhadap keupayaan kakitangan mereka.

    “Jika pemohon mempunyai keupayaan yang diperlukan maka nasihat saya adalah untuk terus melakukannya. Beruntung sekali UTB menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat ini dengan bayaran yang sangat berpatutan juga,” tambah Haji Awang.

    Walaupun dengan pengalaman bertahun-tahun dan pensijilan profesional, kelayakan akademik masih boleh menjadi faktor penting apabila dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat dalam organisasi awda.

    Sementara itu, seorang ahli kerja profesional yang sedang menjalankan modul melalui program berkenaan, Farah Kong antaranya menyatakan bahawa sebagai seorang graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan, beliau telah bercadang untuk mengambil ijazah sambilan atau program sarjana, tetapi pemikiran untuk menyesuaikan diri dengan keluarga, kerja dan kelas malam suatu hal yang sering bermain di minda sehingga menjadikan beliau kurang pasti sama ada mampu memberi komitmen selama dua tahun tersebut.

    Dengan kelulusan yang diperoleh dari Institut Teknologi Brunei pada tahun 2006 sejak 11 tahun yang lalu, beliau telah bekerja sebagai Pemangku Pengurus Kanan di Biro Kredit, Brunei Darussalam Central Bank.

    Apabila UTB mengumumkan bahawa ia memperkenalkan program UTB Postgraduate Micro-Credentials, maka beliau begitu tertarik dengan fleksibiliti program tersebut.

    “Saya merupakan penyokong pembelajaran sepanjang hayat dan kita tidak sepatutnya berhenti belajar selepas kita tamat pengajian. Sepanjang kerjaya saya, saya bertuah kerana pernah bekerja de-ngan majikan yang tidak ragu-ragu untuk meluluskan permohonan saya untuk mengikuti latihan dan kursus pendek berkaitan pekerjaan saya,” luahnya lanjut.

    Ibu kepada dua anak itu kini mengambil modul dalam Data Analysis and Visualisation bagi semester ini, selepas melengkapkan modul dalam Data Science for Business pada tahun lepas.

    “Saya bekerja dengan jumlah data yang besar setiap hari, jadi begitu perlu untuk saya menerokai Data Science for Business sebagai modul pertama saya,” jelasnya.

    Beliau turut menambah bahawa program berkenaan begitu mencabar dan memandu dirinya untuk mengemas kini pengetahuan yang ada.

    Interaksi dengan rakan seperjuangan juga memberi insan ini peluang untuk mengetahui apa yang berlaku dalam industri lain.

    Dalam hal ini, ia begitu berguna untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari serta-merta di tempat kerja dan kemudian membincangkan tentang pemerhatian peribadi di kelas seterusnya.

    Farah juga berkata dia amat mengesyorkan program berkenaan terutama kepada mereka yang tidak boleh mengambil cuti kerja tetapi ingin melanjutkan pelajaran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...