Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UTB, YEI meterai MoU

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yunus Emre Institute (YEI), Republik Turkiye bagi mewujudkan rangka kerja perkongsian untuk kerjasama jangka panjang antara institusi pendidikan di kedua-dua buah negara.

    Melalui MoU itu, pelajar-pelajar dan ahli akademik UTB bersama ahli akademik dan pelajar dari 209 buah universiti di Republik Turkiye akan mempunyai akses kepada lebih banyak peluang untuk pembangunan dan pendedahan.

    Penandatanganan MoU bagi kerjasama tersebut diadakan hari ini di Bilik Persidangan Utama UTB di mana menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman manakala itu, YEI diwakili oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy.

    Sementara itu, mewakili UTB sebagai saksi ialah Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dalam ucapannya berkata, sebagai institusi pengajian tinggi Brunei kedua yang menandatangani memorandum sedemikian tahun ini, beliau percaya ia akan menjana minat dan potensi untuk kerjasama masa depan dengan lebih banyak institusi.

    Wakil-wakil dari UTB dan YEI bergambar ramai selepas majlis penandatanganan Mou tersebut.
    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy semasa hadir ke majlis tersebut.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan TYT Profesor Dr Hamit Ersoy semasa majlis penandatanganan MoU antara UTB dan YEI.
    Antara yang menghadiri majlis penandatanganan yang diadakan di Bilik Persidangan Utama UTB, kelmarin.

    Beliau menambah bahawa mereka melabur dalam inovasi melalui memperkasakan cendekiawan dan MoU tersebut akan memberi manfaat kepada institusi dan pelajar serta ahli akademik mereka dengan membuka jalan untuk perkongsian latihan, penyelidikan dan amalan terbaik yang lebih besar.

    Penandatanganan MoU itu menandakan komitmen Turkiye terhadap inisiatif dasar luar Asia Anew di mana mengukuhkan kerjasama akademik dan pembangunan interaksi antara masyarakat adalah dua daripada empat tonggak utama dasar tersebut.

    UTB akan menawarkan kursus Bahasa Turkiye sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut dan dijangka akan bermula pada tahun depan, yang merupakan tambahan kepada kelas yang dijalankan di kedutaan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan, ia akan menjadi kursus Bahasa Turkiye terkini yang disediakan untuk orang ramai.

    YEI, yang mempromosikan bahasa dan budaya Turkiye dan mempunyai 63 pusat kebudayaan di seluruh dunia, juga mengintai kerjasama lanjut dalam kursus bahasa dengan Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Perkongsian antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu akan memudahkan kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan serta menyediakan pertukaran pelajar dan sarjana untuk satu atau dua semester, dengan kredit yang akan dipersetujui bersama antara institusi yang mengambil bahagian.

    Melalui inisiatif kerjasama institusi seperti program pertukaran itu, ia akan menyediakan ahli akademik dan para pelajar kedua-dua negara peluang yang lebih besar untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang akademik daripada seni, linguistik dan sejarah, budaya dan pelbagai lagi.

    Memandangkan MoU berkenaan berpotensi luas untuk kerjasama dalam hampir mana-mana bidang pengajian dan profesion, projek kerjasama itu boleh menjadi pemangkin untuk aktiviti bersama selanjutnya seperti persidangan, seminar dan pelbagai persembahan kebudayaan oleh orang Turki dan Brunei di kedua-dua buah negara.

    Skop kerjasama di bawah MoU itu termasuk pertukaran akademik untuk kedua-dua kakitangan dan pelajar untuk membantu dalam latihan, bimbingan, dan pembelajaran antara kedua-dua UTB dan YEI; pertukaran ahli akademik untuk pengajaran dan penyelidikan; penyeliaan bersama dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda