BEIJING, 23 JULAI – Vaksin COVID-19 buatan China digunakan meluas apabila lebih 100 negara meluluskan penggunaan vaksin itu dan pemimpin dari 30 negara menerima suntikan dengan vaksin berkenaan, menurut Kementerian Luar China.
Jurucakapnya, Zhao Lijian menyatakan, pelbagai reaksi positif diterima dan terbukti vaksin China membantu dunia menyelamatkan nyawa.
Terdahulu, hasil kajian Universiti Sri Jayawardenapura di Sri Lanka menunjukkan, sebanyak 95 peratus penerima lengkap dua dos vaksin Sinopharm mempunyai antibodi, manakala 81.25 peratus dapat menghasilkan antibodi peneutral menerusi pengaruh sistem imun.
Selain itu, dapatan tersebut juga menyebut bahawa vaksin Sinopharm amat berkesan terhadap varian Delta.
Mengulas mengenai maklum balas positif itu, Zhao menegaskan bahawa vaksin China adalah selamat dan efektif untuk melawan COVID-19.
Selain memperkasa kolaborasi global dalam bidang vaksin, beliau berkata China komited untuk memastikan semua negara membangun boleh mendapat akses kepada produk vaksin yang mampu milik. – Bernama