LECCE, 14 MEI – Pelumba pecut Belanda, Casper Van Uden, mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama untuk memenangi peringkat keempat perlumbaan Giro d’Italia kelmarin, manakala Mads Pedersen kekal sebagai pendahulu keseluruhan meskipun menamatkan saingan di tempat keempat.
Peringkat tersebut berakhir dengan pecutan berkumpulan yang mendebarkan di jalan sempit dan berliku di pusat bandar Lecce, selatan Itali, menyaksikan podium dikuasai sepenuhnya pelumba Belanda – Olav Kooij (Visma) di tempat kedua dan Maikel Zijlaard (Tudor) di tempat ketiga.
Kemenangan itu merupakan pencapaian sulung Van Uden, 23, dalam penampilan pertamanya di Grand Tour. Dia kelihatan teruja sambil memeluk rakan sepasukannya sejurus melintasi garisan penamat.
“Saya tidak lakukannya seorang diri. Kami lakukannya bersama semua rakan sepasukan dan juga kakitangan,” kata pelumba dari pasukan Picnic Post NL itu. “Saya tidak terdedah kepada angin sehinggalah 200 meter terakhir, jadi saya terus pecut dan berharap yang terbaik,” tambahnya lagi.
Pelumba Denmark, Pedersen, yang mengenakan jersi merah jambu pendahulu keseluruhan, dilihat tersekat dalam kelompok pelumba semasa pecutan akhir selepas terpisah daripada rakan sepasukannya, namun masih berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Pedersen dari pasukan Lidl-Trek kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan tujuh saat mengatasi pilihan utama sebelum perlumbaan, Primoz Roglic.
Tiada pelumba pilihan utama kehilangan masa yang signifikan kecuali dua saat yang diraih Roglic dalam pecutan pertengahan peringkat.
Namun pasukannya mengalami kehilangan apabila Soren Kragh Andersen terjatuh lewat perlumbaan dan menamatkan saingan sambil memegang lengan dengan satu tangan.
“Penamat hari ini memang luar biasa,” kata Pedersen.
“Laluan yang berubah-ubah antara jalan lebar dan sempit menjadikan ia hari yang penuh tekanan,” katanya lagi. – AFP