Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Variasi produk kudapan bantu raih rezeki lumayan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Tidak dinafikan memang pengalaman itu mengajar erti kehidupan, dengan didikan dan dorongan ibu tersayang menghasilkan pelbagai resipi suatu ketika dahulu di samping menimba pengalaman bersama para pengusaha kuih-muih tempatan telah mematangkan insan ini untuk terus mencurahkan kredibiliti dan keyakinan diri dalam seni pembuatan kuih-muih sehingga ke saat ini.

    “Tanpa kesungguhan minat pada jiwa dan raga diri ini, saya tidak akan mampu menempuh bidang perniagaan kuih-muih sejauh ini. Pasang surut dunia perniagaan itu lumrah namun segalanya berbalik kepada kita untuk mencoraknya ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Yakinlah rezeki itu ada di mana-mana,” itulah antara luahan tulus salah seorang peserta di bawah Program Usahawan Berkarih Yayasan pada tahun 2019, Dayang Nurul Ayunni binti Jaidi, 33, yang kini giat menjalankan perniagaan sentuhan peribadi pelbagai kuih-muih di bawah Syarikat Mini Bites by Yune semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Berkongsi detik mula menjalankan perniagaan sekitar tahun 2009, Dayang Nurul Ayunni melakukannnya secara sambilan disebabkan pada ketika itu beliau masih bekerja sebagai pereka dalaman di salah sebuah syarikat swasta dan hanya mampu mengambil tempahan pelanggan pada musim bulan Ramadan sahaja disebabkan masa yang terhad.

    Namun dengan izin Allah SWT jua, setelah melahirkan anak kedua pada tahun 2015, beliau bertekad untuk berhenti kerja agar dapat menumpukan sepenuhnya dalam bidang perniagaan sehingga ke saat ini.

    Program Usahawan Berkarih tingkat prestasi
    Meski pun pernah tidak terpilih pada awal permohonan Program Usahawan Berkarih pada tahun 2015 namun penantian hampir empat tahun berkenaan tidak sia-sia malah satu rezeki yang tidak disangka-sangka bagi Dayang Nurul Ayunni.

    Dayang Nurul Ayunni semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
    Dayang Nurul Ayunni mengetengahkan produk berkonsepkan kudapan variasi kudapan rangup dengan harga mampu miliki.

    Beliau menyatakan dengan adanya peluang keemasan untuk menjadi salah seorang peserta program berkenaan pada tahun-tahun berikutnya di mana telah membawa kemanisan yang begitu berharga dalam membantu dirinya untuk lebih mengembangkan lagi usaha penghasilan produk pembuatan kuih-muih.

    “Menerusi pemberian mesin heavy duty mixer dan oven di bawah program berkenaan, kini perlaksanaan pembuatan kuih-muih dalam perniagaan saya dilihat semakin efektif dan efisien terutamanya daripada segi masa dan juga jumlah kuantiti yang dihasilkan dalam sehari.

    “Sebelumnya saya hanya mampu menghasilkan 16 kontena dalam sehari namun kini saya dapat menyediakan lebih 30 kontena kuih-muih bagi memenuhi tempahan mahu pun penghantaran ke kedai-kedai kiub dan juga semasa menyertai ekspo,” tambahnya.

    Variasi sentuhan menawan citarasa
    Dayang Nurul Ayunni mengetengahkan produk berkonsepkan kudapan variasi biskut rangup seperti Biskut Kopi Rangup, Nutella Cookie Pods, Kuih Mor, Crinkle Cookies, Semprit Pelangi, Tat Nenas Bunga dan sebagainya.

    Selain itu, beliau juga turut mempelbagaikan produk jualannya dengan sentuhan yang menawan cita rasa antaranya Cornflakes Madu Pedas Memajal, Popia Simpul, Crunchy Almonds dan bermacam-macam lagi.

    “Namun dari dulu sehingga kini produk Biskut Kopi Rangup tetap menjadi top selling daripada yang lain tidak kira masa-masa tertentu. Pastinya dalam penjualan semua produk itu saya menyediakan dua jenis pek pembungkusan. Apa yang paling penting biarlah produk sentuhan saya dapat dinikmati bersama oleh seluruh lapisan masyarakat dengan harga mampu milik,” ujarnya.

    Pentingnya pengurusan masa
    Dalam pada itu, ibu kepada tiga orang anak ini turut menekankan dalam meniti apa sahaja perniagaan begitu mustahak untuk sentiasa menitikberatkan pengurusan masa antara keluarga dan perniagaan dengan teratur.

    Beliau yang mengungkayahkan perniagaan sehingga kini secara persendirian meliputi aspek pembuatan, penghantaran ke ekspo-ekspo dan kedai-kedai kiub, di samping pembelian barangan dan juga aspek cashflow ini turut tidak menafikan bahawa suami beliau merupakan salah seorang insan yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam membantu perjuangan dirinya selama ini daripada segi bantuan membeli barangan dan juga penghantaran.

    “Kebiasaannya setelah menyediakan persediaan keperluan dan menghantar serta mengambil anak-anak sekolah, saya akan memanfaatkan masa yang terluang dengan mengadun kuih-muih setiap pagi dan disambung lagi pada sebelah petang secara rutin,” kongsinya yang turut mempunyai impian untuk memiliki sebuah kedai dengan kakitangan-kakitangan khusus suatu hari nanti.

    Lebih seronok bersua muka
    Sehubungan itu, dalam meniti proses jualan sentuhan produk-produk harian agar lebih dikenali di mata masyarakat di negara ini dari semasa ke semasa, beliau menyatakan dirinya bukan hanya memanfaatkan teknik pemasaran dalam platform media sosial seperti Instagram dan WhatsApp sahaja namun penglibatannya dalam pelbagai ekspo turut menjadi platform terbaik kerana dapat bertemu langsung dengan orang ramai.

    “Bersua muka memperkenalkan produk-produk kepada para pengunjung ekspo itu lebih membawa impak positif dalam diri ini lebih-lebih lagi apabila jualan yang diketengahkan itu laris di depan mata.

    Perkongsian pandangan atau maklum balas tidak kira baik atau buruk daripada mereka itu juga menjadi salah satu pemangkin untuk lebih memajukan perniagaan dari hari ke hari,” ujarnya yang turut menyediakan perkhidmatan lain kepada para pelanggannya menerusi self-pickup di kediamannya atau penghantaran ke rumah-rumah menggunakan bantuan khidmat runner.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda