Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Versatil untuk pelbagai tahap kedalaman

    Oleh Raz As –

    Lipless crankbait merupakan sejenis umpan tiruan (lure) berbadan keras, yang seperti mana dinyatakan melalui namanya ‘lipless’ ia tidak mempunyai ‘lidah’ seperti yang ada pada kebanyakan jenis umpan tiruan berbadan keras yang lain.

    Lidah yang terdapat pada umpan tiruan berbadan keras berfungsi untuk melawan keapungan semula jadi sesuatu lure itu, oleh yang demikian lipless crankbait direka untuk tenggelam dan boleh digunakan pada pelbagai tahap kedalaman air dengan aksi bergoyang (wobbling) sisi-ke-sisi.

    Lipless crankbait yang juga dikenali sebagai rattle bait, merupakan lure berbadan pipih lebar yang bergoyang-goyang apabila tali ditarik. Kebanyakan lure jenis ini mempunyai dua bentuk mata kail treble, satu pada bahagian ekornya dan satu lagi pada sisi bawah, dengan split ring pada bahagian atas di mana tali akan diikat.

    Kebanyakan lipless crankbait mempunyai bebola besi atau knocker di dalamnya, yang akan menghasilkan bunyi untuk menarik perhatian sang ikan apabila ia digunakan. Walaupun ikan tidak mempunyai lubang telinga, namun telinga dalamannya (inner ears) cekap mengesan bunyi dan getaran di dalam air.

    Oleh yang demikian meskipun digunakan di perairan yang keruh atau kondisi cahaya yang rendah seperti pada waktu malam, ikan tidak perlu bergantung sepenuhnya pada deria penglihatan untuk mengesan lure yang menghasilkan bunyi atau getaran. Lipless crankbait merupakan lure yang sangat versatil penggunaannya, banyak teknik boleh digunakan bersamanya. Ia boleh digunakan di pelbagai tahap kedalaman air kerana ia tidak bersifat terapung, menjadikan ia lure yang berkesan untuk menjerat ikan yang berada di kawasan pertengahan air atau ikan yang berada di perairan yang cetek. Apabila tali digulung terus lipless crankbait akan menghasilkan aksi bergoyang, semakin laju gulungan dilakukan semakin kuat aksi yang dihasilkannya, apabila gulungan diperlahankan atau dihentikan lure ini akan jatuh ke bawah dengan aksi yang lebih subtle.

    Antara teknik yang boleh digunakan bersama lure ini adalah teknik gulungan terus (steady retrieve) sama ada dengan gulungan laju atau perlahan, teknik yo-yo di mana gulungan selang-seli dengan berhenti seketika untuk membolehkan lure jatuh ke bawah sebelum gulungan dilakukan kembali dan teknik vertical jigging di mana lure dijatuhkan ke dasar atau tahap kedalaman yang dimahukan dan joran diangkat-angkat perlahan.

    Apabila digunakan di kawasan perairan cetek atau berumpai, lipless crankbait boleh digunakan dengan teknik yang sama seperti menggunakan lure lainnya, gulungan tali yang berterusan akan membolehkan lure ini untuk sentiasa berada betul-betul di atas dasar atau rumpai.

    Seorang pemancing Australia melihatkan ikan selongsong yang dipancingnya menggunakan lipless crankbait. – Gambar oleh Hooked Up Magazine
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...