Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Johan Ariff abadikan buku foto warisan budaya Kelantan

    KOTA BHARU – Tidak ingin melihat seni warisan dan budaya di Kelantan pupus ditelan masa, jurugambar Johan Ariff Ismail, 55, nekad mengabadikan gambar-gambar mengenai kebudayaan dan kesenian di negeri kelahirannya itu dalam bentuk buku foto.

    Johan Ariff berkata usaha mengumpul gambar bermula sejak 2004 apabila beliau menceburi bidang fotografi secara serius dan terbabit dengan aktiviti Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).

    “Banyak peristiwa kebudayaan dan warisan di Kelantan saya ambil gambar untuk simpanan peribadi, tetapi selepas memikirkan warisan di negeri ini yang semakin dilupakan, saya terpanggil untuk mengabadikannya sebagai sebuah buku foto.

    “Setakat ini saya sudah menyiapkan sembilan cetakan buku foto merangkumi setiap jajahan di negeri ini termasuk Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat manakala selebihnya masih dalam proses percetakan,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Dusun Muda baru-baru ini. Mengulas lanjut, Johan Ariff berkata setiap jajahan di Kelantan mempunyai keunikan serta tarikan tersendiri, malah proses dokumentasi buku foto itu mengambil masa yang agak lama kerana perlu mendalami sejarah dan warisan negeri Cik Siti Wan Kembang itu terlebih dahulu.

    Menurutnya antara jajahan yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian ialah Tumpat yang mana hampir 70 peratus foto-fotonya adalah daripada lokaliti itu terutama yang berkaitan dengan industri kotej atau makanan.

    Johan Ariff Ismail menunjukkan gambar yang dirakamnya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Dusun Muda baru-baru ini. – Bernama
    Antara gambar yang dirakam Johan Ariff Ismail. – Bernama
    Sebahagian buku foto (photobook) yang dihasilkan Johan Ariff Ismail. – Bernama

    Johan yang turut aktif dalam misi kemanusiaan itu berkata karya yang dihasilkan dengan ‘jiwa’ itu didorong kuat daripada rasa tanggungjawabnya untuk menyediakan sumber rujukan visual kepada generasi akan datang selain mengangkat warisan Kelantan ke persada dunia. Katanya sudah banyak peninggalan warisan lama hampir pupus dan sukar ditemui malah langsung tidak diketahui generasi hari ini. Bagi Johan, warisan yang ditinggalkan nenek moyang terdahulu sangat bernilai dan perlu ada pelbagai usaha untuk mengabadikannya.

    “Warisan kita adalah budaya kita. Ia menggambarkan asal usul dan keturunan kita dan ia berkait rapat dengan jati diri kita. Perlu ada usaha untuk kekalkannya dalam apa jua cara,” katanya. Katanya, ketika ini beliau dalam proses menghasilkan buku foto untuk kawasan menarik lain termasuk di Dabong dan Lojing yang memiliki keunikan alam semula jadi.

    “Saya mahu buku foto ini bukan sekadar berfungsi sebagai rakaman gambar atau peristiwa tetapi ada ‘jiwa’ dan konotasi mendalam serta mencakupi semua aspek warisan Kelantan,” katanya. Beliau berkata buku foto yang dihasilkan itu mempunyai pelbagai sumber dan penyelidikan termasuk rujukan buku alam Melayu, pertemuan dengan orang tempatan serta beberapa adiguru pelbagai bidang kepakaran dalam seni dan budaya masyarakat Kelantan.

    “Saya juga menerapkan kira-kira 15 aspek utama dalam penghasilan buku foto ini termasuk seni bina, permainan, pakaian, persembahan kebudayaan, persenjataan, adat istiadat, kraftangan, seni pertahankan diri, etnologi dan makanan.

    “Saya harap buku foto ini bukan hanya menjadi rujukan tetapi mengangkat warisan tempatan pada tahap yang sewajarnya selain satu kaedah mengenal dan mengekalkan jati diri masyarakat Melayu Kelantan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...