KATHMANDU – Veteran Gurkha, Hari Budha Magar dibesarkan di kaki gunung Himalaya, tetapi hanya selepas beliau kehilangan kakinya, beliau bertekad untuk mewujudkan impian semasa zaman kanak-kanaknya untuk mendaki gunung Everest.
Magar, 43, terpijak alat letupan yang diletakkan secara improvisasi pada tahun 2010 semasa bertugas di Afghanistan dengan Briged Gurkha satu unit warga Nepal yang direkrut menjadi Tentera British.
Selepas beberapa tahun menjalani pemulihan dan latihan, bulan depan beliau merancang untuk mendaki gunung tertinggi di dunia, satu usaha yang dipromosikan di laman
webnya di bawah slogan “tiada kaki, tiada had”.
“Selepas kehilangan kedua-dua kaki saya, matlamat saya adalah untuk melihat apa yang boleh saya lakukan secara fizikal. Ia membuka minda saya dan saya mencuba segala yang saya boleh gunakan,” kata Magar kepada AFP sebelum berlepas ke kem pangkalan Everest.
Magar dibesarkan di Nepal, di kaki bukit pergunungan Himalaya, dan sentiasa tertarik dengan sukan pengembaraan.
“Apabila saya bermain ski, pemandangan pergunungan akan mengingatkan saya kepada Everest. Saya sentiasa tertanya-tanya sama ada saya boleh mendaki,” katanya.
Dua individu yang telah berjaya mendaki ke puncak dengan keadaan kedua-dua belah kaki bawahnya telah diamputasi sebelum ini ialah Mark Inglis dari New Zealand pada 2006 dan Xia Boyu dari China pada 2018.
Magar mula bersedia untuk ekspedisinya pada tahun yang sama dengan pendakian Xia.
Namun, beliau terpaksa menangguhkan latihannya untuk mengambil bahagian dalam kempen menentang undang-undang Nepal yang telah dibatalkan sejak itu yang melarang pendaki kurang upaya atas alasan keselamatan.
Beliau memakai pakaian khas yang direka khusus yang dipasang pada prostetik yang dipendekkan, dengan lapisan silikon di bawah pahanya untuk mengelakkan radang dingin.
Magar akhirnya berasa bersedia untuk tugasan besar yang akan datang selepas berjaya mendaki Puncak Mera Nepal (6,476 meter) dan puncak tertinggi di Alps, Mont Blanc (4,808 meter).
“Terdapat banyak kesukaran, tetapi akhirnya semuanya berjalan dengan lancar untuk mencapai impian saya,” katanya.
Ekspedisinya itu telah menyusuli pendakian pertama ke Everest oleh Edmund Hillary dan Tenzing Norgay Sherpa, berita tersebut sampai di United Kingdom pada hari pertabalan Ratu Elizabeth II.
Ia merupakan satu kebetulan yang menggembirakan bagi Magar bahawa kemuncaknya bertepatan dengan pertabalan Raja Charles III yang berlangsung bulan depan, hampir 70 tahun kemudian, memberikan peluang kepadanya untuk menghormati negara yang dia berkhidmat dalam pertempuran.
“Itu mahkota yang saya perjuangkan. Itulah mahkota yang menyebabkan saya kehilangan kedua-dua kaki,” katanya.
“Saya fikir hidup saya sudah berakhir,” tambahnya.
Magar memakai seluar pendek di mana-mana, termasuk cuaca di Himalaya yang sejuk, untuk mempamerkan kaki palsunya dengan bangga, tetapi dia mengambil masa yang lama untuk menerima kecederaannya.
“Saya fikir hidup saya sudah berakhir, saya fikir saya perlu menghabiskan sisa hidup saya di kerusi roda,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berasa terdesak dan mengalami masalah mabuk sebelum memikirkan tentang masa depan anak-anaknya, memaksanya untuk menilai semula masa depan anaknya.
“Matlamat utama saya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kecacatan. Kerana jika saya sedar, saya tidak akan mensia-siakan dua tahun hidup saya, saya akan
memanfaatkannya dengan baik,” katanya.
Magar berkata dia ingin menunjukkan bahawa orang kelainan upaya boleh melakukan apa sahaja, tetapi terdapat cara yang berbeza untuk melakukan sesuatu.
“Selagi awda boleh menyesuaikan hidup awda mengikut masa dan keadaan, kami boleh melakukan apa sahaja yang kami mahu. Tiada had, langit adalah hadnya,” katanya.
Pemandu Magar, Krishna Thapa, yakin ekspedisi itu akan berjaya.
“Dia seorang pendaki gunung yang hebat, dia mempunyai persiapan selama enam tahun dan mencipta beberapa rekod,” katanya kepada AFP.
“Belum lagi ada pendaki lain yang mempunyai pengalaman seperti itu.” – AFP