Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Vietnam mara ke final Piala AFF

    KUALA LUMPUR, 10 JAN – Seperti dijangka, Vietnam melangkah ke final Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi semalam.

    Penyerang Nguyen Tien Linh muncul wira skuad Golden Star Warriors selepas mencetak kedua-dua gol untuk membantu pasukan mencipta kejayaan di laman sendiri. Selepas gagal beraksi pada tahap terbaik ketika seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Jakarta, Jumaat lepas. Vietnam memulakan permainan malam ini dengan bergaya apabila mendahului seawal minit ketiga selepas Tien Linh menyudahkan umpanan Do Hung Dung.

    Anak buah Park Hang Seo kemudian terlepas peluang menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma Doan Van Hau yang sedikit tersasar pada minit ke-30 sebelum penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata cemerlang menyelamatkan percubaan Pham Tuan Hai seminit kemudian.

    Selepas kedudukan 1-0 memihak pasukan tuan rumah, hasrat skuad Garuda untuk bangkit pada separuh masa kedua hancur selepas Tien Linh sekali lagi membolosi gawang Indonesia menerusi tandukan berpunca sepakan penjuru pada minit ke-47.

    Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Vietnam terus berpeluang meraih gelaran ketiga selepas muncul juara pada 2008 dan 2018. Sementara itu, kekalahan diraih skuad bimbingan Shin Tae Yong menyaksikan Indonesia terpaksa menunggu lebih lama untuk merangkul kejuaraan pertama mereka pada kejohanan dwitahunan itu selepas enam kali bergelar naib juara.

    Menanti Vietnam di pentas final ialah antara Malaysia dan Thailand yang akan berentap pada satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani, malam ini. – Bernama 

    Nguyen Quang Hai (kiri) berebut bola dengan Pratama Arhan semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...