ISLAMABAD, 5 JULAI – Virus polio jenis 1 telah dikesan dalam sampel kumbahan dari tiga wilayah di Pakistan, menurut Kementerian Kesihatan Pakistan kelmarin, lapor Xinhua.
Virus itu dikesan di dalam sampel yang dikumpul antara 10 dan 12 Jun membabitkan daerah Gwadar, Sibi, Kech, Dukki, Usta Muhammad dan Mastung di wilayah Balochistan, daerah Rawalpindi di wilayah Punjab timur dan daerah Abbottabad di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menurut kenyataan kementerian.
Semua sampel positif dikaitkan dengan kelompok genetik YB3A jenis 1, yang telah dikesan dalam semua kes positif serta sampel kumbahan yang dilaporkan tahun ini.
Program Polio Pakistan sedang melaksanakan kempen polio di 41 daerah minggu ini termasuk Dukki, Sibi, Mastung, Usta Muhammad dan beberapa kawasan di Rawalpindi. – Bernama