Tuesday, May 21, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    ‘Wabak’ kanser dalam kalangan orang dewasa muda

    UNITED KINGDOM – Apabila Catherine, Puteri Wales, mendedahkan bahawa dia sedang dirawat kerana kanser bulan lepas, sebahagian daripada kejutan yang timbul adalah seorang berusia 42 tahun mempunyai penyakit yang kebanyakannya dihidapi orang tua.

    Walau bagaimanapun, penyelidik semakin mengingatkan bahawa semakin ramai orang di bawah usia 50 tahun mendapat kanser, dan tiada siapa yang tahu sebabnya.

    Di seluruh dunia, kadar orang di bawah umur 50an yang didiagnosis dengan 29 kanser biasa melonjak hampir 80 peratus antara 1990 dan 2019, menurut satu kajian besar dalam jurnal BMJ Oncology pada tahun lepas (2023).

    Para penyelidik meramalkan bahawa bilangan kes kanser baharu dalam kalangan
    orang dewasa yang lebih muda akan meningkat 30 peratus lagi menjelang akhir dekad ini, dengan negara-negara kaya terutamanya terjejas.

    Peningkatan kes – dan populasi global yang meningkat – bermakna jumlah kematian dalam kalangan bawah 50 tahun akibat kanser telah meningkat hampir 28 peratus dalam tempoh 30 tahun yang lalu.

    Catherine, Puteri Wales, mengumumkan diagnosis kansernya pada 22 Mac lalu. – DailyMail
    Chadwick Boseman meninggal dunia pada usia 43 tahun pada 2020 akibat kanser kolorektal. – DailyMail
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Ini berlaku meskipun kemungkinan orang dari semua peringkat umur yang terselamat daripada kanser telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh setengah abad yang
    lalu.

    Dr Shivan Sivakumar, seorang penyelidik kanser di Universiti Birmingham United Kingdom, menyebutnya sebagai ‘wabak’ kanser dewasa muda.

    Sejak Catherine mendedahkan pada 22 Mac lalu bahawa kansernya ditemui selepas dia menjalani pembedahan perut awal tahun ini, Dr Shivan dan doktor-doktor lain telah bercakap mengenai peningkatan pesakit kanser yang lebih muda yang datang berjumpa di klinik mereka.

    Walaupun kanser payudara kekal paling biasa bagi mereka yang berumur di bawah 50 tahun, para penyelidik menyatakan kebimbangan khusus tentang peningkatan kanser gastrousus, seperti kolon, pankreas, hati dan esofagus, dalam orang dewasa yang lebih muda.

    Kanser kolon kini menjadi punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan lelaki di bawah 50 tahun di Amerika Syarikat, menurut American Cancer Society.

    Bagi wanita, ia adalah nombor dua, hanya di belakang kanser payudara.

    Satu kes profil tinggi kanser kolorektal ialah pelakon Black Panther, Chadwick Boseman yang meninggal dunia pada usia 43 tahun pada 2020.

    KEMUNGKINAN PUNCA

    “Kami masih belum mempunyai bukti untuk menyatakan dengan tepat apa yang menyebabkan peningkatan berkenaan,” kata Dr Shivan, sambil menambah ia mungkin gabungan beberapa faktor.

    Profesor epidemiologi kanser di Queen’s University Belfast, UK, Dr Helen Coleman yang telah mengkaji kanser awal di Ireland Utara, berkata terdapat dua penjelasan yang berpotensi jadi penyebab.

    Salah satunya ialah orang yang berumur 40an terdedah kepada faktor yang diketahui boleh menyebabkan kanser, seperti asap tembakau, alkohol atau obes, pada usia yang lebih awal daripada generasi sebelumnya.

    Dia menegaskan bahawa ‘wabak obesiti’ tidak bermula sehingga tahun 1980an.

    Dr Shivan merasakan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada teka-teki itu boleh dijelaskan oleh obesiti.

    Bagaimanapun, terdapat ‘gelombang lain’ pesakit bawah 50 tahun yang tidak gemuk dan tidak mempunyai kecenderungan genetik, tetapi masih mendapat kanser, tegasnya, sambil menambah bahawa ia tidak boleh diserahkan kepada ‘statistik kemungkinan’.

    Teori lain, menurut Prof Coleman, adalah ‘sesuatu yang berbeza’ telah berlaku dengan generasinya.

    Tuduhan telah dilemparkan kepada pelbagai kemungkinan penyebabnya, termasuk bahan kimia, ubat-ubat baharu dan mikroplastik, tetapi tidak ada yang terbukti.

    Ada yang mencadangkan bahawa apa yang digelar makanan ultra-diproses boleh dipersalahkan.

    “Tetapi tidak terdapat data sahih untuk menyokong mana-mana perkara itu,” katanya.
    Teori lain ialah makanan yang kita makan boleh mengubah mikrobiom usus kita.

    Walaupun belum ada apa-apa yang kon-klusif, Prof Coleman berkata penyelidikannya sendiri mencadangkan bahawa kanser menyebabkan perubahan kepada mikrobiom, bukan sebaliknya.

    Ahli teori konspirasi anti-vaxx telah cuba menyalahkan vaksin COVID-19.

    Ia mudah disangkal kerana peningkatan kanser dewasa muda telah berlaku selama beberapa dekad, tetapi vaksin hanya wujud dalam beberapa tahun.

    LANGKAH PROAKTIF

    Untuk menangani peningkatan kanser kolorektal yang lebih muda, AS menurunkan umur yang disyorkan untuk pemeriksaan kepada 45 pada 2021.

    Negara-negara lain masih belum mengikutinya.

    Namun para penyelidik berharap pengalaman Catherine akan mengingatkan orang ramai bahawa mereka harus berunding dengan doktor jika mereka merasakan ada yang tidak kena.

    “Orang ramai mengenali badan mereka dengan baik,” kata Dr Shivan.

    “Jika awda benar-benar merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jangan berlengah-lenggah, periksa sahaja diri awda,” beliau menasihatkan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...