Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 24 NOV – Hotel The Lanes dengan kerjasama Tutong Runners, pagi tadi berjaya menganjurkan acara Walkaton Minds in Motion dengan menghimpunkan lebih 40 peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran pentingnya kesihatan mental dan fizikal dalam kehidupan seharian.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara riadah berjalan santai sejauh lima kilometer di sekitar Pekan Tutong itu ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad; dan Pemangku Ketua Kampung Petani, Awang Zambri bin Haji Ibrahim.
Sejurus bacaan Doa Selamat, acara diikuti dengan taklimat keselamatan dan sesi memanaskan badan, diteruskan dengan walkaton seawal jam 6:30 pagi.
Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, menampilkan hadiah-hadiah besar yang ditaja oleh Clarity Sdn Bhd, Dynamic Sports, Rose Studio, Whatever Accessories, dan banyak lagi.
Selain itu, acara juga menyaksikan sesi penyampaian tanda penghargaan kepada tetamu kehormat daripada Pengurus Besar Hotel The Lanes, Jasmine Sim.
Dengan adanya acara sedemikian, ia dihasrat untuk mewujudkan pengalaman positif penuh bermakna di samping menggalakkan semangat masyarakat dalam sama-sama menitikberatkan nilai kesihatan dan kesejahteraan meliputi dari segi rohani mahupun jasmani.