MANCHESTER, 23 OGOS – Manchester United mengejutkan ramai apabila membeli Aaron Wan-Bissaka pada harga 50 juta pound dari Crystal Palace Jun lalu.
Tetapi dua perlawanan pembukaan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini membuktikan pemain skuad bawah 21 England itu adalah pelengkap kepada skuad United yang kurang menyengat beberapa musim lalu.
Wan-Bissaka segera memberikan impak berdasarkan statistik ketika menentang Chelsea dan Wolves di mana skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer meraih empat mata daripada dua perlawanan berkenaan.
Sembilan terjahan dilakukan Wan-Bissaka ketika keputusan seri 1-1 di Wolves dan ia jumlah paling tinggi dilakukan oleh seorang pemain dalam satu perlawanan setakat musim ini, dan 15 keseluruhan dilakukan dalam dua perlawanan juga meletakkannya tertinggi dalam kategori berkenaan.
Persembahan menentang Wolves menyaksikan pemain 21 tahun itu menyentuh bola sebanyak 115 kali, jumlah kedua tertinggi oleh mana-mana pemain dalam aksi Liga Perdana setakat musim ini. Solskjaer sering menekankan pertahanannya untuk mengeluarkan bola dengan cara hantaran tepat, tetapi lebih penting kehadiran Wan-Bissaka dan Harry Maguire yang memecah rekod perpindahan dunia untuk seorang bek berjaya mengukuhkan benteng United yang dibolosi 54 gol liga musim lalu. – AFP