SYDNEY, 23 Feb – Western Sydney Wanderers telah dikenakan denda sebanyak Aus$20,000 (AS$15,375) oleh Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) gara-gara merentangkan sepanduk lucah dalam satu perlawanan tetangga Liga-A, hujung minggu lepas.
FFA mendapati Wanderers bersalah selepas kelab penyokong terkenal Red & Black Bloc (RBB) menaikkan sepanduk yang menggambarkan pengurus Sydney FC Graham Arnold terlibat dalam perbuatan tidak senonoh.
Badan pentadbir boleh mengenakan penalti satu mata kepada Wanderers untuk salah laku yang lalu, tetapi sebaliknya membuat keputusan untuk mengenakan denda kewangan.
FFA berkata mereka telah mengambil kira langkah yang diumumkan oleh Wanderers Rabu lalu dengan mengharamkan 14 penyokongnya selama 18 bulan kerana memaparkan sepanduk homofobik.
Kemarahan meletus dalam komuniti bola sepak dan media berhubung kejadian itu pada penghujung babak kedua kemenangan Wanderers 1-0 ke atas Sydney Sabtu lepas.
“Tindakan penyokong Wanderers memaparkan sepanduk itu semasa perlawanan dan di media sosial benar-benar tidak boleh diterima,” kata ketua Liga-A, Greg O’Rourke.
“Kami gembira dengan perhatian dan langkah proaktif Wanderers. Hukuman itu mencerminkan kelab sebenarnya bertanggungjawab ke atas tindakan dan aktiviti penyokong mereka.”
FFA berkata, peminat yang dikenal pasti akan melalui proses pengecualian badan penganjur. Western Sydney berkata mereka juga komited untuk memantau tingkah laku penyokong semasa perlawanan dan pada platform media sosial. – AFP