Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Wanita bebas, 4 masih ditawan penculik PNG

    CANBERRA, AUSTRALIA, 23 FEB – Penculik telah membebaskan seorang wanita yang ditahan selama beberapa hari di kawasan terpencil di Papua New Guinea (PNG) dengan pasukan keselamatan terus berunding untuk membebaskan empat tebusan lain, kata polis hari ini.

    Wanita itu, warga PNG yang namanya tidak didedahkan, telah dibebaskan kepada polis kelmarin, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis ,Philip Mitna dalam satu kenyataan.

    Polis mengesahkan pada Isnin bahawa penculikan telah berlaku di negara kepulauan Pasifik Selatan itu tetapi tidak menyatakan bila ia bermula.

    Seorang warga asing dan tiga pelajar universiti PNG masih ditahan oleh beberapa penculik berhampiran Kampung Fogoma’iu di wilayah terpencil Highlands, kata polis.

    Warga asing itu adalah warga New Zealand yang tinggal di Australia dan bekerja sebagai ahli arkeologi di universiti Australia, menurut laporan media. Kerajaan New Zealand dan Australia enggan memberi komen.

    Pesuruhjaya Polis, David Manning berkata pegawai telah diberi kuasa untuk ‘menggunakan sepenuhnya undang-undang untuk menjamin orang yang ditahan, dan melumpuhkan serta menangkap penjenayah’.

    “Kami menawarkan jalan keluar kepada penculik. Mereka boleh membebaskan tawanan mereka dan mereka akan dilayan secara adil melalui sistem keadilan jenayah,” kata Manning.

    “Tetapi kegagalan untuk mematuhi dan menentang penangkapan boleh mengorbankan nyawa penjenayah,” katanya.

    Penculik telah membuat tuntutan wang tebusan, menurut laporan media. Penculikan untuk mendapatkan wang tebusan adalah jenayah luar biasa di PNG, sebuah masyarakat puak asli berjumlah 9 juta orang yang kebanyakannya petani sara diri.

    Perdana Menteri PNG, James Marape menggesa penculik untuk membebaskan tebusan yang ada.

    “Awda tiada tempat untuk bersembunyi. Awda semua, nama dan wajah awda sedang diprofilkan ketika ini,” kata Marape kepada Australian Broadcasting Corp, sambil menambah lebih 13 penculik telah dikenal pasti.

    Tebusan yang dibebaskan adalah warga tempatan yang bekerja dengan pasukan penyelidik yang diculik, lapor ABC. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...