WASHINGTON, 2 JULAI – Juruterbang wanita Wally Funk, 82, akan menyertai Jeff Bezos pada bulan ini dalam penerbangan angkasa lepas pertama untuk syarikat jutawan Blue Origin, umum firma semalam.
Penerbangan itu sudah terlewat 60 tahun untuk Funk, yang merupakan salah seorang anggota Mercury 13 – wanita pertama yang dilatih untuk terbang ke angkasa lepas dari 1960-1961, tetapi tidak dimasukkan disebabkan jantina.
Pada 20 Julai, beliau akan menjadi orang tertua yang mengunjungi angkasa lepas apabila mengambil bahagian dalam perjalanan menaiki kapal New Shepard bersama Bezos, adiknya Mark dan seorang lagi peserta yang membayar AS$28 juta pada pelelongan untuk tempat duduk tersebut.
“Saya tidak sabar-sabar untuk berlepas,” kata Funk dalam video yang disiarkan di laman Instagram Bezos.
Funk menceritakan masa ketika beliau bersama program Mercury 13, program tidak rasmi yang menyediakan latihan dan ujian kepada wanita sama seperti yang dijalani angkasawan lelaki dalam program NASA.

“Mereka memberitahu saya telah menyiapkan kerja lebih cepat daripada mana-mana angkasawan lelaki,” kata Funk, wanita paling muda yang lulus dalam program itu, dalam video.
“Maka saya menghubungi NASA empat kali. Saya berkata saya mahu menjadi angkasawan, tetapi tiada sesiapa yang mahu menerima saya. Saya tidak terfikir saya akan mengunjungi angkasa lepas.”
Beliau berkata orang memberitahunya, “Wally kamu seorang perempuan, kamu tidak boleh melakukannya.”
Orang tertua pernah ke angkasa lepas ialah angkasawan AS John Glenn, yang berlepas pada 1998 pada usia 77 tahun dalam kapal Discovery.
Bagi dirinya, umur ‘bukan satu faktor batasan’ untuk berkunjung ke angkasa, kata Glenn King, pengarah program latihan angkasa di Pusat Nastar, sebuah syarikat persendirian yang bekerjasama dengan industri-industri besar memberitahu AFP.
“Ia bergantung sepenuhnya pada kesihatan setiap orang,” katanya lagi. Wanita pertama ke ruang angkasa pada tahun 1963 ialah Valentina Terechkova dari Rusia, 20 tahun sebelum wanita pertama Amerika, Sally Ride pada 1983. – AFP