Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Wany bakal tamatkan zaman bujang

    Penyanyi Menahan Rindu, Wany Hasrita, 30, memberi bayangan mendirikan rumah tangga, tahun ini.

    Enggan mengulas lanjut bagi menjaga hati banyak pihak, Wany berkata, dia akan berkongsi kisah perkahwinannya apabila tiba masa yang sesuai.

    “Setiap orang mempunyai perancangan berkahwin, begitu juga saya. Insya Allah, tahun ini tetapi bukan dalam masa terdekat, tempoh sebulan atau dua bulan ini.

    “Apabila kad kahwin sudah keluar berserta tarikh, masa dan tempat ditetapkan, saya pasti akan berkongsi.

    “Jangan risau, saya akan kongsi dahulu, barulah berkahwin.

    Wany berkata, dia akan berkongsi kisah perkahwinannya apabila tiba masa yang se-suai. – Agensi

    “Sebab perkara ini juga masih baru. Untuk cakap lebih-lebih, saya pun takut sebab banyak hati dan perkara perlu dijaga.

    “Saya mahu menjaga sebaik mungkin, biar berjalan dengan baik,” katanya kepada media.

    Wany turut merahsiakan tarikh dirinya dirisik dan bertunang bagi menghormati pihak yang terbabit.

    “Soal merisik dan bertunang, biar saya sahaja yang tahu. Disebabkan cuba sedaya upaya menghormati pelbagai pihak, tetapi kalau nikah, kami akan beritahu,” katanya.

    Wany menjawab pertanyaan media berkaitan dakwaannya sudah melangsungkan majlis pernikahan, Sabtu lalu.

    Tambah Wany, dia terkejut dengan dakwaan itu, lantas menafikannya.

    “Tidak, saya belum berkahwin lagi. Sabtu lalu, saya mengacarakan program Borak Dulu Baru Buka,” katanya.

    Dedah Wany, dia sudah menghadiri kursus perkahwinan sejak tahun lalu lagi.

    Justeru, mengulas majlis perkahwinannya, Wany berkata, impiannya untuk mengadakan majlis sederhana.

    “Tidaklah ‘mega’, mungkin akan dihadiri keluarga terdekat. Walaupun sudah masuk fasa endemik, saya rasa kita masih perlu menjaga diri.

    “Saya suka ‘intimate’ jika membabitkan majlis pernikahan. Tetapi, saya tetap akan jemput media,” katanya.

    Mencuit mengenai bakal suaminya, Wany mengakui, dia berharap bertemu jodoh dengan seseorang yang bukan berkecimpung dalam industri hiburan.

    “Saya punya impian untuk berkahwin dengan seseorang yang bukan bekerja dalam industri. Jadi, jika ada jodoh, tercapailah impian itu.

    “Jujurnya, apabila berkawan, memang niat ke arah itu memandangkan saya juga sudah berusia 30 tahun.

    Jadi, fasa main-main sudah berlalu, sekarang ini niat kena betul, iaitu mahu berkahwin.

    “Berkahwin untuk ke syurga bersama-sama, Insya Allah. Itu sahaja yang boleh dikongsikan.

    “Untuk pertanyaan berapa lama sudah berkawan, siapa namanya, persiapan dan sebagainya, saya akan beritahu apabila tiba masa,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Canggung ini berkata, dia kini sibuk mengacarakan program terbitan RTM, Borak Dulu Baru Buka.

    Dalam masa sama, Wany juga memberi bayangan akan mengeluarkan lagu bersempena dengan hari bahagianya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...